Tekstur pada perabot rotan menjadikan ruangan lebih menarik.

Elemen boho naikkan seri Japandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGGABUNGKAN ketenangan gaya Japandi dengan kebebasan ekspresif ala boho, sebuah apartmen berkeluasan 990 kaki persegi (92 meter persegi) di Setapak, Kuala Lumpur tampil penuh karakter.

Dalam setiap sudut, wujud keseimbangan antara fungsi dan estetika dengan penggunaan warna natural, perabot kayu, sentuhan rotan, tanaman hijau serta aksesori berjiwa santai.

Hasilnya, lahirlah satu ruang yang ringkas, namun tidak terlalu minimalis atau berlebihan. Sebaliknya, ia cukup selesa untuk didiami dan mencerminkan personaliti pemiliknya.

Menurut pemiliknya, Nur Farah Fhashihah Ahmad Tarmizi Tan, hampir keseluruhan rumahnya dihiasi elemen kayu rubberwood sebelum ini.

Namun kini, dia mula menambah elemen rotan dan warna hijau agar suasana tampak lebih ‘hidup’.

“Hijau menjadi warna pilihan, hadir melalui pokok-pokok asli seperti monstera, money plant dan snake plant yang diletakkan di ruang tamu serta dapur.

“Ada juga sedikit rona jingga dan kuning yang ditambah untuk menyerikan suasana terutama di ruang permainan anak.

“Perabot rotan pula dipilih untuk menambah tekstur dalam rumah,” katanya kepada CitaRasa.

Ruang tamu yang menjadi nadi kediaman tersebut diisi dengan sofa beige, meja kopi dan meja televisyen rotan. Sementara permaidani bergaya vintaj Inggeris menambahkan lagi karakter pada ruang.

Bantal berona coklat, langsir lembut dengan ton beige kelabu serta pokok hijau yang subur melengkapkan komposisi tersebut. Ini sekali gus menjadikan ruang tamu terasa santai, harmoni dan seimbang.

Wanita berusia 33 tahun itu memilih ruang tamu sebagai tempat kegemaran kerana di situlah dia banyak menghabiskan masa ketika anak tidur, merancang kandungan media sosial atau mengatur aktiviti harian keluarga.

Sementara itu, dinding dapur pula dihiasi wallpaper bercorak jubin, manakala lampu rotan menjadi penyeri utama kerana reka bentuknya yang unik.

Walaupun hanya dilekatkan menggunakan pelekat, namun lampu itu kekal kukuh sehingga kini, sekali gus memberikan tekstur yang menghidupkan ruang.

Menurut pemilik akaun TikTok, @raratannnn, island kayu dibeli daripada Ikea merupakan perabot paling sentimental buat dirinya yang mula meminati dekorasi sejak bergelar suri rumah sepenuh masa.

Hal ini kerana perabot tersebut dibeli dengan menggunakan wang pertama yang diperolehi daripada perkongsian kandungan dekorasi di TikTok dan Instagram.

“Selepas berkahwin, saya memilih untuk berhenti kerja dan masa yang banyak dihabiskan di rumah.

Island kayu dan lampu rotan menjadi penyeri di ruang dapur.

“Itu membuatkan saya mula mencari aktiviti baharu iaitu berkongsi kandungan dekorasi rumah di dalam media sosial.

“Pendapatan daripada perkongsian tersebut, saya beli island kayu dari Ikea. Perabot itu memiliki nilai sentimental tinggi kerana merupakan tanda permulaan di media

sosial,” katanya.
Bagi anak kecilnya yang berusia dua tahun, Nur Farah Fhashihah menyediakan sebuah ruang permainan dengan konsep montessori (pembelajaran kanak-kanak).

Warna natural masih dikekalkan agar ruang tersebut harmoni dengan mood keseluruhan rumah, namun ditambah sentuhan kuning agar lebih ceria.

Perabot ringkas dipilih supaya mudah digabungkan dengan mainan anaknya yang berwarna-warni.

Walaupun memiliki cabaran menyusun atur mengikut kesesuaian si kecil, namun ruang itu tetap menjadi antara sudut kegemaran keluarga.

Kongsi Nur Farah Fhashihah, hampir 90 peratus perabot di rumah itu dibeli di Ikea, manakala selebihnya daripada Natural Signature yang terkenal dengan penggunaan kayu rubberwood.

“Saya mengumpul sedikit demi sedikit sejak 2021. Jumlah keseluruhan perbelanjaan ketika ini adalah sekitar RM10,000 untuk dekorasi lengkap.

“Walaupun terinspirasi daripada gaya moden seperti Japandi, namun saya tetap mengekalkan identiti tempatan melalui penggunaan rotan.

“Bagi saya, elemen itu memberikan unsur boho yang lebih ekspresif dan tidak terlalu plain, di samping membawa jiwa Melayu yang dekat di hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN