KUALA LUMPUR – Dua jurulatih skuad futsal Sabah yang terbabit dalam insiden pergaduhan sesama sendiri berdepan hukuman penggantungan dan denda sekiranya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun ketika ini perkara itu masih dalam dalam penelitian FAM sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah pun meminta laporan penuh daripada pegawai perlawanan dan pengadil bertugas sebelum kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.
“Kita sedang meneliti insiden pergaduhan tersebut dan menunggu laporan daripada pegawai perlawanan dan pengadil. Semua maklumat tersebut kita kumpulkan dan kita akan serahkan kepada Jawatankuasa tatatertib untuk tindakan selanjut nya.
“Sekiranya didapati bersalah, jurulatih tersebut boleh dikenakan hukuman gantung dan denda,” katanya.
Insiden pergaduhan itu berlaku di Arena Futsal Negeri Sembilan, sejurus tamat aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia yang menyaksikan Sabah tumbang 3-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Terdahulu, Sabah selesa mendahului 3-1 namun bangkit untuk kemenangan dramatik sekali gus mencetuskan kemarahan pengendali Sabah, Roger Filipe.
Jurulatih itu dilihat bertindak agresif memaksa pegawai pasukan cuba menenangkan keadaan sebelum insiden bertambah tegang apabila penolong jurulatihnya tiba-tiba melepaskan satu tumbukan hingga menyaksikan Filipe rebah. – KOSMO! ONLINE














