DI bawah langit biru yang terbentang luas dan diiringi bisikan angin lembut, ada jiwa yang menemukan kedamaian di celahan rimbunan daun dan deruan air terjun.
Mendekatkan diri dengan nuansa alam membuatkan bunyi air semula jadi kedengaran seperti alunan muzik mendayu, manakala bau tanah dirasakan bagai ‘api’ yang menyemarakkan semangat hidup.
Muhammad Amin Afwan Amran, 28, seperti terlepas daripada tekanan hidup saat melakukan aktiviti memburu air terjun yang kebanyakannya terletak jauh di dalam hutan.
Digelar ‘waterfall hunter’, mereka yang melakukan aktiviti memburu air terjun itu lazim melakukannya secara berkumpulan antara 10 hingga 30 orang.
Amin Afwan bukan saja mencari panorama memukau, tetapi menikmati pengalaman menjejaki lokasi air terjun itu sendiri.
“Minat saya terhadap aktiviti ini sudah timbul sejak kecil terutama apabila keluarga kerap lakukan aktiviti berkelah di tepi sungai dan pantai.
“Kemudian saya semakin bersemangat selepas melihat abang sanggup menjelajah jauh ke dalam hutan demi mencari air terjun tersembunyi.
“Momen berdiri di hadapan air terjun itu membuatkan saya sedar bahawa alam menyimpan banyak karya agung Tuhan yang bukan saja indah, tetapi penuh misteri,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Amin Afwan yang juga Eksekutif Projek Kanan, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) itu mengakui aktiviti itu seperti memberikan tenaga baharu selepas melakukannya.
Keterujaan melihat keindahan air terjun di depan mata langsung melenyapkan rasa penat meredah hutan belantara yang sesekali memerlukan dia menelusuri kawasan berbukit dan licin.
Amin Afwan mula aktif menjadi ‘waterfall hunter’ bersama rakan-rakannya sejak tiga tahun lalu.
“Kami menyasarkan untuk menjejaki 100 lokasi air terjun, tetapi buat masa ini kami kami telah kunjungi kira-kira 16 lokasi air terjun di negara ini,” katanya.

Ceritanya, ekspedisi itu selalunya bermula dengan denai kembara sebelum tiba di lokasi air terjun dan membangunkan khemah.
“Boleh dikatakan saya bersama ‘pemburu’ lain akan bergerak secara kumpulan dan kami akan melakukan sekali setiap dua bulan.
“Kekuatan stamina menjadi asas disebabkan selalunya perjalanan pendakian akan ambil masa sekitar 40 minit hingga sejam,” kata lelaki asal Pasir Mas. Kelantan yang menetap di Lembah Klang itu.
Bukan sahaja memburu lokasi air terjun terbaik, Amin Afwan bersama rakan-rakan turut mengadakan aktiviti perkhemahan di kawasan berhampiran.
Kelengkapan seperti kit pertolongan cemas, groundsheet, flysheet, lampu, pelampung keselamatan dan snek tenaga sentiasa dibawa bersama.
“Sehari sebelum bertolak kami akan buat perancangan ringkas tapi rapi dan sentiasa berbincang kerana keselamatan penting lebih-lebih lagi sebelum ini kami pernah berkhemah di tebing sungai dan tiba-tiba dilanda kepala air sehingga kelengkapan hanyut dan rosak.
“Belajar daripada pengalaman itu, buat kami lebih peka sekali gus mengajar tentang erti kerja berpasukan dan menghormati kuasa alam,” katanya yang sering melakukan aktiviti itu di Sungai Pertak, Lata Makau dan Lata Medang di Selangor.
Seorang lagi pemburu air terjun, Muhammad Kamil Mohd Hashim, 30, berkata, kerjasama berkumpulan penting dalam aktiviti sebegini kerana kemungkinan ‘bertembung’ haiwan liar atau fenomena alam tidak boleh dijangka.
“Saya tidak pernah cuba untuk melakukannya secara solo atas faktor keselamatan. Kita bermain dengan alam yang sememangnya menyimpan banyak rahsia dan macam-macam kita tidak tahu, jadi lebih baik berjaga-jaga. Bila ada kawan, boleh membantu. Aktiviti ini juga membuatkan saya mudah mendapat kawan baharu,” katanya.

Ujar Kamil, dia dan ahli lain akan duduk berbincang dan berbual tentang destinasi air terjun yang ingin dijejaki berdasarkan gambar dan maklumat daripada rakan-rakan.
“Selalunya kawasan yang ingin diterokai terletak jauh di dalam hutan dan perlu mengambil masa lama untuk sampai, jadi kadangkala ada terjumpa najis gajah liar dan tapak kaki harimau.
“Lokasi air terjun yang kami selalu cari selalunya agak terpencil dan masih cantik kerana tidak dicemari dengan perbuatan manusia tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Menjadikan aktiviti itu sebagai mengisi masa lapang dua kali dalam sebulan, beberapa lokasi air terjun dalam dan luar negara yang pernah dijejaki lelaki dari Selangor ini antaranya Air Terjun 7 Puteri di Gunung Stong, Kelantan;
Air Terjun Pelaur, Gunung Yong Belar, Cameron Highlands, Pahang; Air Terjun Padang Batu, Pahang; Lata Kolam Air Deru Ecopark, Terengganu; Lata Kijang, Negeri Sembilan dan Bah Manik, Medan, Indonesia.
Menjadi ‘waterfall hunter’ membuatkan dirinya menemui banyak air terjun indah yang tersembunyi.
Bagi Kamil, air terjun yang boleh dianggap ‘hidden gem’ di negara ini ialah air terjun Ulu Kasar, Setiu, Terengganu.
“Panoramanya indah dan lokasi masih terpelihara kerana air terjun di situ warnanya kehijauan seperti di luar negara. Sebelum ke lokasi perlu meredah hutan sekitar 20 minit untuk ke lokasi air terjun,” kongsinya.
Seorang lagi ‘waterfall hunter’ ialah pemilik syarikat kembara, Raventure, Nor Azira Ali, 30, yang menyifatkan aktiviti tersebut sudah sebati dengan dirinya. Sebagai individu yang juga bertanggungjawab dalam mengendalikan
kumpulan mencari air terjun, Azira selalunya akan membuat semakan cuaca dan memastikan dokumentasi berkaitan telah dibuat.
Keindahan deruan air terjun dari tebing dan udara sejuk yang menyentuh kulit dengan ‘kolam’ semula jadi yang jernih juga membuatkan dia berasa seperti berada di alam lain.
Perkara itu membuatkan Azira tidak dapat menghentikan keinginannya untuk terus melakukan aktiviti memburu air terjun sama ada di dalam mahupun di luar negara.
“Hidup di alam itu lebih indah kerana tidak sesak dan seolah-olah alam sedang berkongsi rahsia hanya dengan kita,” ujarnya yang pernah menjejaki Air Terjun Tiu Kelep, Lombok, Indonesia.














