KLUANG – Dua lelaki dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah terhadap pertuduhan menjadi keldai akaun bagi sindiket pemerasan berunsur seks (sextortion) secara dalam talian, Januari lalu.
Hakim Mujib Saroji membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohammad Syafiq Azmi, 30, dan Awie Serah, 27, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan tiga tahun penjara jika gagal membayar denda terbabit. Kedua- dua tertuduh membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Syafiq dan Awie didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM3,500 dan RM100 ke dalam akaun bank milik tertuduh tanpa tujuan sah.
Perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh Kampung Mengkibol, di sini pada 3 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya merayu diringankan hukuman kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab menyara seorang anak dan isteri selain mendakwa turut menjadi mangsa penipuan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli yang mengendalikan kes memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal agar dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai serta kepentingan awam.
Terdahulu, polis menahan dua lelaki selepas dipercayai bertindak sebagai keldai akaun bagi sindiket berkenaan yang memperdaya seorang mangsa melalui aplikasi sosial, Litmatch.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun pada 3 Januari lalu mendakwa diperdaya seorang wanita untuk membuat panggilan video lucah sebelum mangsa memindahkan wang berjumlah RM3,600 ke akaun sindiket.-KOSMO! ONLINE