fbpx
Dron dilihat menjadi satu aset pertahanan yang semakin penting kepada setiap negara. - Gambar hiasan

Beri keutamaan pembangunan dron tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Berdasarkan trend pertahanan kontemporari, Unmanned Autonomous Vehicles (UAV) atau lebih dikenali sebagai dron dilihat menjadi satu aset pertahanan yang semakin penting kepada setiap negara.

Teknologi itu bukan sahaja mempunyai keupayaan tersendiri, malah fungsinya semakin meluas yang mana sebagai contoh di peringkat antarabangsa menunjukkan kepentingan aset dron dalam operasi ketenteraan.

Sebagai contoh, serangan balas Persekutuan Russia ke atas Ukraine pada 19 Julai lalu turut melibatkan lebih 300 unit dron dan 30 peluru berpandu dalam satu malam, sekali gus membuktikan keupayaan teknologi itu dalam melaksanakan operasi serentak secara pantas, berskala besar dan sukar dikesan.

Susulan itu, penganalisis pertahanan, Mejar Wan Nurhidayat Wan Muhamad berkata, berdasarkan perkembangan serantau itu, keupayaan menghasilkan dron secara tempatan wajar diberi keutamaan.

“Kita tidak boleh terus menunggu dan berlengah. Benar, kita boleh sahaja menjadi negara pembeli dan mendapat bekalan dron yang diperlukan dari negara pengeluar lain di dunia.

“Namun, pendekatan tersebut bukan sahaja memerlukan peruntukan besar, namua ia dilihat tidak lestari dalam jangka panjang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebaliknya, Nurhidayat berkata, usaha membangunkan keupayaan dron sendiri secara berfokus akan memberi kelebihan kepada negara termasuk membolehkan reka bentuk dron yang dibangunkan sesuai dengan keperluan taktikal dan geografi rantau ini.

“Kita akan mempunyai banyak pilihan dan tidak lagi hanya terhad kepada bentuk atau model sedia ada di pasaran.

“Kedua, dengan mempunyai satu projek dron negara yang khusus dan terancang, pendekatan tersebut dapat menggalakkan kerjasama antara industri, agensi keselamatan dan institusi penyelidikan dengan lebih strategik.

“Penggemblengan sumber dan kepakaran seperti ini akan memastikan pulangan kepada segala belanja penyelidikan kita dapat ditingkatkan,” katanya.

Susulan itu, kejayaan Turkiye membangunkan industri pertahanan negara itu perlu dijadikan contoh terbaik kepada setiap negara termasuk Malaysia.

Ia menunjukkan bagaimana dasar pertahanan terancang di peringkat nasional boleh mengubah kedudukan Turkiye daripada pengguna kepada pengeluar dan pembekal sistem ketenteraan.

Menurut laporan media Turkiye, Clash Report, sebanyak 34 unit Bayraktar TB2 iaitu produk dron buatan tempatan Turkiye telah dieksport pada tahun lalu menjadikannya sistem dron paling banyak dijual di peringkat global.

Jumlah ini mengatasi eksport dron buatan Israel seperti Heron (14 unit) oleh Israel Aerospace Industries, Hermes 450 (12 unit) dan Hermes 900 (11 unit) oleh Elbit Systems.

“Pencapaian itu meletakkan Turkiye berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk muncul sebagai peneraju utama dalam industri ini.

“Namun, semua itu sebenarnya tidak berlaku sekelip mata, ia adalah proses yang memakan masa.

“Dalam kes Turkiye, kemajuan tersebut bertitik tolak daripada iltizam kerajaan serta perancangan yang strategik dan serius,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN