CHERAS – Program kayuhan santai The Heritage Ride Taiping 2025 menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta apabila tarikh penyertaan yang sepatutnya ditutup pada 24 Ogos ini, dilanjutkan selama sebulan lagi berikutan sambutan luar biasa yang diterima.
Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, sehingga kini, seramai 1,700 peserta telah mendaftar, melepasi sasaran awal 1,500 penyertaan dalam tempoh hanya beberapa hari.
“Respon sangat memberangsangkan dan kita masih menerima banyak pertanyaan. Justeru, kita ambil keputusan lanjutkan tarikh pendaftaran selama sebulan lagi. Kita yakin angka 2,000 akan dicapai,” katanya ketika sidang akhbar The Heritage Ride Taiping 2025 di Leisure Mall, Cheras.
Program kayuhan tersebut bakal berlangsung pada 30 November ini bermula dari Dataran Warisan, Taiping dan akan melibatkan tiga kategori iaitu 90 kilometer (km), 60km dan 20km (santai).
Menurut Wong, seramai 200 pelajar sekolah dari usia 7 hingga 17 tahun juga akan ditaja untuk menyertai program berkenaan berbanding hanya 150 orang tahun lalu.
“Kayuhan ini bukan sahaja mempromosi gaya hidup sihat, tetapi juga memperkenalkan keunikan Taiping sebagai bandar warisan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Antara negara luar yang turut menghantar penyertaan termasuk Switzerland, Kanada, Taiwan dan Jerman.
The Heritage Ride Taiping 2025 dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi dan penaja utama termasuk Akademi Sdn. Bhd., Alliance Bank, Farm Fresh, Perak Transit serta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).- KOSMO! ONLINE.