KUALA LUMPUR – “Hidup saya sudah musnah kerana terpaksa menanggung hutang melebihi kemampuan saya sendiri.”
Demikian luahan seorang guru dikenali sebagai Ain, 39, yang menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat konsultan kewangan sehingga kerugian RM1.2 juta.
Katanya, dia diperdaya untuk membuat pinjaman dengan empat buah bank pada Jun tahun lalu bagi tujuan pelaburan.
“Pada awalnya, saya (sertai) syarikat ini kerana percaya sehingga saya berkata kepada diri sendiri ‘bodohnya kalau aku tak masuk’,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Ain berkata, disebabkan itu, dia kini terpaksa bergelut meneruskan kelangsungan hidup apabila terpaksa mencari dana sampingan bagi membayar komitmen bulanan yang tinggi.
“Setiap hari bank cari sampai datang ke tempat kerja. Saya percaya, saya tak akan mampu bayar sampai mati. Saya bukan tidak reda atas ujian ini tetapi tak boleh terima jika perkara ini dibiarkan tanpa siasatan,” katanya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Dr. Akmal, 36, memberitahu, dia menyertai syarikat itu sejak 2021 selepas menyertai beberapa kelas kewangan dan perbelanjaan.
“Kelas yang diadakan setiap bulan itu memberi perspektif positif untuk menarik kepercayaan pelabur sebelum kami diminta membuat pinjaman tanpa faedah.
“Namun, semuanya menjadi sia-sia apabila kami tahu wang tersebut diseleweng dan syarikat tersebut gulung tikar,” ujarnya.
Dua individu tersebut merupakan antara 22 mangsa yang disyaki diperdaya syarikat berkenaan membabitkan kerugian berjumlah RM19.9 juta.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa penjawat awam mendakwa diarah membuat pinjaman peribadi dengan beberapa bank secara serentak.
“Modus operandi syarikat adalah mereka akan menyelesaikan hutang mangsa bagi menghapuskan rekod dalam sistem Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau Credit Tip-Off Service (CTOS) sebelum menguruskan pinjaman untuk mangsa.
“Mangsa kemudian diminta menyerahkan semua wang pinjaman untuk tujuan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial digesa membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi memastikn individu terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.
Sebelum ini, SPRM menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi melalui Ops Sky meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
Siasatan pihak berkuasa mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudiannya terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan. – KOSMO! ONLINE