fbpx
MOHD. RAZIKI bersama isterinya, Nur Fazliana bergambar bersama motosikal Yamaha RXZ di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.

Tutup mata beli Yamaha RXZ RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Demi minat dan kepuasan peribadi, peminat Yamaha RXZ sanggup berhabis sehingga RM50,000 semata-mata mahu memiliki motosikal i­daman dua lejang itu.
Malah, ada antara mereka meng­akui tidak kisah untuk me­ngeluarkan belanja yang besar selain sanggup menyimpan duit setiap bulan demi melunaskan impian yang terbina sejak zaman persekolahan.

Nilai sentimental dan harga pasaran yang tinggi menyebabkan motosikal keluaran tahun 1980-an itu mendapat perhatian dan menjadi buruan peminatnya, lebih-lebih lagi menjelang Himpunan RXZ Members pada hujung minggu ini.

Seorang peniaga makanan, Mohd. Raziki Mohd. Nordin, 38, berkata, dia membeli motosikal Yamaha RXZ keluaran tahun 2005 idamannya pada harga RM50,000 tiga tahun lalu daripa­da seorang rakan dari Kuala Lumpur.

Dia yang menetap di Gong Badak di sini, menegaskan, tidak pernah menyesal, malah berpuas hati dapat memiliki motosikal yang menjadi impiannya sejak kecil ­biarpun harga di pasaran ketika itu sekitar RM10,000.

“Saya kumpul duit beberapa tahun demi memiliki motosikal ini, Yamaha RXZ keluaran tahun 2005 itu sangat istimewa kerana menggunakan spare part (alat ganti) baru,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd. Raziki berkata, motosikal tersebut hanya ditunggang­nya tidak lebih tiga kali setahun termasuk untuk menyertai Himpunan RXZ Members di Litar Permotoran Terengganu di sini.

“Sayang hendak ‘lenjan’ motosikal ini lagipun harganya agak mahal,” katanya.

RIFDI IMRAN (kiri) dan isteri,Tengku Norhayati Tengku Mansor bersama motosikal Yamaha RXZ yang dibelinya pada harga RM28,000 di Kampung Manir, Kuala Terengganu.

Seorang lagi peminat Yamaha RXZ, Khairuddin Mohd. Suffi, 53, memberitahu, dia membeli motosikal jenama itu bagi keluaran tahun 1987, lapan tahun lalu de­ngan harga RM14,000.

“Ini motosikal Yamaha RXZ ketiga yang pernah saya miliki. Motosikal pertama dibeli pada 1995 pada harga RM18,000 dan yang kedua pada harga RM22,000 pada 2006.

“Isteri dan anak-anak me­restui kerana memahami minat saya. Kesemua motosikal Yamaha RXZ terbabit hanya digunakan untuk menyertai aktiviti riadah bersama rakan-rakan,” katanya yang merupakan jurutera.

Sementara itu, Rifdi Imran Roslin, 33, berkata, dia tidak menyesal membelanjakan RM28,000 untuk membeli sebuah Yamaha RXZ keluaran tahun 2007 dua tahun lalu, yang merupakan idamannya sejak zaman persekolahan.

Katanya, motosikal yang dibeli daripada seorang rakan itu bukan sahaja memiliki nilai sentimental, malah merupakan aset yang masih mempunyai nilai pasaran tinggi dalam kalangan peminatnya.

“Ramai yang cakap mahal tetapi bagi saya berbaloi sebab motosikal ini mempunyai nilai koleksi dan permintaan tinggi, terutama sekiranya semua alat ganti masih original,” katanya ketika ditemui di Kampung Manir di sini semalam.

Rifdi Imran yang merupakan ahli Kelab RXZ Generation Lifestyle berkata, motosikal dua lejang seperti Yamaha RXZ kini semakin sukar diperoleh dalam keadaan asli dan terjaga, sekali gus menyebabkan harganya meningkat dari tahun ke tahun.

“Itu yang buat harganya naik. Barang spare part (alat ganti) pun bukan senang hendak dapat dan harganya pun bukan murah.

“Motosikal Yamaha RXZ semakin mendapat perhatian terutama menjelang acara Himpunan RXZ Members 7.0 hujung minggu ini,” katanya.

Rifdi Imran berkata, harga motosikal itu semakin meningkat sewaktu penganjuran Himpunan RXZ Members kerana ia menghimpunkan puluhan ribuan pemilik motosikal berkenaan dari seluruh negara.

Dalam pada itu, seorang pempengaruh dan juga pengasas produk kosmetik, Farhana Zahraturut menawarkan sebuah motosikal Yamaha RXZ Catalyzer pada harga RM1 juta di media sosial baru-baru ini.

Dia yang dikenali sebagai Cikna mendakwa, telah membeli motosikal yang belum didaf­tarkan lagi dan masih asal dari kilang pada harga RM146,000 pada tahun lalu.

“Motosikal ini unregister (belum daftar), NOS (barang baru stok lama) ori (asal) kilang. Satu sahaja di Malaysia dan ada dengan Cikna.

“Siapa kata RM1 juta mahal, demo tak kenal bare (barang). Satu sahaja tahu kat Malaysia, memang patut kita letak RM1 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN