PETALING JAYA – Seorang warga emas yang tular tertidur menunggu pelanggan membeli nasi lemaknya, hari ini tersenyum lebar apabila dia tidak menang tangan melayan orang ramai membeli jualannya.
Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok Du’an menunjukkan pelanggan beratur di gerai jualan wanita itu untuk membeli nasi lemak berharga RM1.50 di kawasan Ara Kuda, Kedah, bersebelahan tanah perkuburan Masjid Aceh.
“Nasi lemak mak cik viral Ara Kuda. Hari ni saya datang untuk sampaikan sedikit sumbangan yang diamanahkan oleh beberapa rakan TikTok semalam.
“Alhamdulillah, hari ni nasi lemak mak cik ni habis awal, laris jualannya. Esok dia buka lagi, sesiapa yang nak ‘support’ boleh mai esok,” kata Du’an.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai bersyukur apabila pelanggan datang membeli di gerai warga emas berkenaan sekali gus dia tidak perlu tertunggu-tunggu kehadiran mereka.
“Baju oren tu anak saya, dia dalam perjalanan ke kolej. Sempat beli 12 bungkus ja, tak dan (sempat) dah nak tunggu sebab dia ada exam (periksa),” komen Nurul Dinasuha sebaik melihat anaknya dalam video tersebut.
“Mesti dia seronok hari ni nasi lemak dia laris. Esok dia mesti bertambah-tambah semangat nak masak lagi. Semoga dipermudah urusan mak cik, dilimpah lagi rezeki melimpah ruah. Diberi rezeki kesihatan yang baik,” komen pengguna TikTok Cik Manis_Bouquet.
“Mesti dia terkejut kan? Dari tunggu orang mai (datang) beli sampai tertidoq (tertidur), tahu tahu esok tu tak menang tangan orang mai dengan bantuan orang bagi lagi. Tu berkat kesabaran seseorang. Allahuakbar, semoga mak cik dijauhkan daripada penyakit dan orang yang berniat jahat,” kata Mijahaslan.
“Alhamdulillah rakyat bantu rakyat. Terima kasih yang tolong viral mak cik ni semalam,” kata Nur Rasyidah.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang warga emas yang tertidur semasa menunggu pelanggan membeli nasi lemak menarik perhatian netizen.
Menerusi satu perkongsian oleh pengguna TikTok @_kakpinat, mak cik tersebut dilihat menjual nasi lemak berharga RM1.50 di sebuah simpang di kawasan Ara Kuda, Kedah, bersebelahan tanah perkuburan Masjid Aceh. – KOSMO! ONLINE
@iduan_ NASI LEMAK MAKCIK VIRAL ARA KUDA harini saya datang untuk sampaikan sedikit sumbangan yang diamanahkan oleh beberapa rakan tiktok semalam. Alhmdulillah harini nasi lemak makcik ni habis awal, laris jualannya. Esok dia buka lagi, sesiapa yang nk support boleh mai esok, Sesiapa yang nak kirimkan sumbangan, minta maaf saya dah tak ambil sebab saya kerja awal pagi dan balik malam. Sesiapa yang nak bagi sumbangan mungkin boleh direct dgn owner tiktok @_kakpinat atau direct ke gerai makcik tu 🙏🏻 #NASILEMAKMAKCIKVIRALARAKUDA #fyp #xyzbca ♬ A Clarification by Muhammad Al Muqeet – Muslim Sounds