fbpx
Gambar hiasan

ATM kerah lebih 1,000 anggota kawal sempadan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) menggerakkan lebih 1,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkukuh kawalan di sempadan Malaysia–Thailand.

Penugasan itu membabitkan 60 pegawai dan 1,004 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang ditempatkan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Rantau Panjang, Kelantan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara operasi yang dijalankan ialah Op PAGAR II dan Op KOTA BRAVO/CHARLIE/DELTA di Kedah, Op PAGAR III dan Op KOTA ECHO/FOXTROT di Perak serta Op MERPATI Sektor 8 Briged di Kelantan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelaksanaan operasi turut diperkukuhkan dengan penugasan pelbagai aset baharu termasuk kenderaan pacuan empat roda, motosikal scrambler, All Terrain Vehicle (ATV) serta dron (UAV).

“Dengan pertambahan aset di kawasan operasi, kawalan di sempadan dapat diperkukuhkan lagi, sekali gus mencegah pencerobohan dari luar,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung penggunaan teknologi pengawasan dan rondaan bersama

Selain itu, hubungan baik dengan Royal Thai Army (RTA) terus diperkukuhkan melalui General Border Committee (GBC) MALTHAI yang melibatkan mesyuarat Regional Border Committee (RBC), Land Working Group (LWG) serta Combined Force Border Patrol (CFBP).

Empat Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) turut diwujudkan secara bersebelahan antara kedua-dua negara iaitu di Ban Di Da dan Ban Di Samoe di Sik, Kedah serta PST 34 dan 36/100 di Durian Burung, Padang Terap, Kedah.

Adly menegaskan, penempatan anggota, aset pertahanan dan kerjasama bersama agensi keselamatan lain membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI