PETALING JAYA – “Saya boleh pilih untuk hidup senang lenang dengan jawatan, tetapi itu bukan niat saya untuk masuk dunia ini (politik)”.
Demikian status terbaru di muat naik oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di media sosial hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendakwaan yang bakal beliau hadapi di mahkamah kerana menggugat ketenteraman awam.
“Saya disini kerana mereka (rakyat) di bawah yang mengangkat dengan penuh harapan bahawa suara mereka didengar. Maka saya pilih mereka berbanding kesenangan,” katanya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mendakwa empat individu termasuk Dr. Muhammad Akmal dan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Dua lagi individu akan turut didakwa ialah Chandrasegaran Subramaniam dan Siti Hajar Aflah Sharuddin.
Menurut AGC, Dr. Muhammad Akmal, Muhammad Hilman dan Siti Hajar akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574]
Manakala, Chandrasegaran akan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]
“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh individu-individu tersebut didapati telah menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” jelas AGC. – KOSMO! ONLINE