KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengesahkan pihaknya masih melakukan pemantauan berhubung perhimpunan berkaitan isu Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di hadapan Kompleks Sogo, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini tiada sebarang kesalahan dikesan sepanjang pemantauan dilakukan.
“Memang tidak ada kesalahan dikesan dan keadaan masih terkawal dengan baik. Namun, pihak polis tetap memberi peringatan jelas bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil secara serius.
“Kalau ada perhimpunan selepas ini, kita akan terus pantau dan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan keadaan teratur,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan juga telah dibuka terhadap penganjur perhimpunan terdahulu dan proses melengkapkan kertas siasatan sedang dijalankan.
“Kita akan mengambil tindakan termasuk terhadap penganjur atau individu yang terlibat dalam sebarang kesalahan berkaitan aktiviti tersebut,” tegasnya.
Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan polis akan meneliti ucapan peserta sekiranya menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam perhimpunan ‘Justice For Zara’ yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, seramai 100 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang himpunan itu berlangsung.
Ratusan peserta himpunan Justice For Zara memenuhi pekarangan pusat beli-belah Sogo sebagai tanda solidariti bagi menyuarakan keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina. – KOSMO! ONLINE