PERALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh memaklumkan beliau akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini susulan penglibatannya dalam Himpunan Solidariti Bendera di Pulau Pinang baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beliau menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya @DrAkmalSaleh semalam.
Menurutnya, beliau sebelum ini telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan pada 15 Ogos lalu dan proses itu berakhir kira-kira jam 2 pagi keesokannya.
“Saya dimaklumkan akan dihadapkan ke mahkamah pada 22 Ogos ini jam 8 pagi. Disebabkan saya baru tiba di Mekah semalam, saya akan pendekkan ziarah umrah saya untuk pulang ke tanah air lebih awal,” katanya.
Tambah beliau, tindakan itu adalah harga yang perlu dibayar demi memperjuangkan kedaulatan negara.
“Jika inilah harga yang perlu saya bayar, saya tidak akan berganjak walau seinci pun. Kita akan lawan di mahkamah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
@drakmalsaleh Assalamualaikum wbt Saya telah dihubungi oleh pihak polis bahawa saya akan dihadapkan ke mahkamah untuk satu pertuduhan di bawah seksyen 505(b) kanun keseksaan. Namun, saya kini sedang menunaikan ibadah umrah di bumi Allah Mekah. Justeru, saya akan pendekkan umrah saya dan akan pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan tersebut pada hari Jumaat ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam jam 0800 pagi Mohon doakan saya. Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara,saya tidak akan berganjak walau seinci sekalipun.. Kita jumpa di mahkamah Jumaat ini #pemudaUMNOMalaysia #nofearnosurender #drakmalsaleh ♬ Epic Inspiration – Kidmada