BANDAR GAZA – Bimbang dengan kebarangkalian serangan darat tentera Israel yang bakal dilakukan secara besar-besaran, ribuan penduduk Palestin meninggalkan rumah dan pusat perlindungan di timur Bandar Gaza menuju ke barat dan selatan wilayah yang sudah musnah itu , lapor akhbar Arab News semalam.
Rancangan Israel untuk menguasai Bandar Gaza mencetuskan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Gaza, malah penduduk Israel yang mendesak agar perjanjian dicapai bagi menamatkan perang serta membebaskan baki 50 tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Ahmed Mheisen yang merupakan pengurus pusat perlindungan Palestin di Beit Lahiya, pinggir Bandar Gaza berkata, sebanyak 995 keluarga telah meninggalkan kawasan itu sejak beberapa hari kebelakangan ini untuk menuju ke selatan.
Dengan serangan Israel yang semakin hampir, Mheisen menganggarkan jumlah khemah yang diperlukan untuk perlindungan kecemasan adalah sebanyak 1.5 juta.
Namun, Rejim Zioinis hanya membenarkan 120,000 khemah masuk ke wilayah itu semasa gencatan senjata pada Januari hingga Mac lalu.
Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada minggu lalu bahawa 1.35 juta orang di Gaza memerlukan barangan perlindungan kecemasan.
“Penduduk Bandar Gaza ibarat orang yang sudah dijatuhi hukuman mati dan hanya menunggu saat ia dilaksanakan,” kata seorang ahli perniagaan di Bandar Gaza, Tamer Burai.
“Saya akan memindahkan ibu bapa dan keluarga saya ke selatan hari ini (semalam) atau esok (hari ini). Saya tidak sanggup mengambil risiko kehilangan mereka jika berlaku serangan mengejut,” tambahnya.
Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir Ahad lalu meluluskan rancangan untuk menakluki Bandar Gaza yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Media Israel melaporkan, fasa pertama melibatkan pemindahan dan kepungan ke atas bandar tersebut, manakala fasa kedua akan menyaksikan kemasukan tentera secara beransur-ansur ke kawasan kejiranan dan serbuan.
Bagi tujuan itu, penduduk Gaza diarah berpindah ke selatan dan berlindung di lokasi-lokasi digelar ‘zon selamat’ seperti Al-Mawasi. – AGENSI