KOTA BHARU – Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) memulakan kempen Piala FA dengan langkah kanan apabila menundukkan KL City FC (KL City) dengan jaringan 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kealpaan barisan perthanan KL City pada perlawanan berkenaan membolehkan Ifedayo Omosuyi melarikan bola ke kawasan berbahaya dan membuka tirai jaringan seawal minit keempat untuk meletakkan Kelantan TRW di hadapan.
KL City cuba mencari gol penyamaan, namun sekali lagi dikejutkan dengan jaringan kedua Ifedayo pada minit ke-14 selepas menyambar bola muntah daripada dakapan Quincy Kammeraad yang menafikan percubaaan awal tuan rumah melalui sepakan penjuru.
Ketinggalan dua gol di belakang, KL City menggandakan serangan dan cuba mencari jaringan untuk membolehkan mereka kembali mengimbangi perlawanan.
Anak-anak buah E. Elavarasan bagaimanapun terus kental bertahan dan menafikan setiap peluang diperoleh pasukan pelawat bagi memastikan kelebihan dua gol milik mereka dapat dipertahankan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Habib Haroon Saed hampir menambah gol buat kem tuan rumah apabila lariannya gagal disekat pemain lawan namun percubaannya pada minit ke-60 terkena tiang gol manakala Ifedayo gagal menyambar peluang terhidang.
Kelantan TRW muncul mendapat gol ketiga apabila tandukan pemain pertahanan, Sean Selvaraj tepat menerjah jaring gol KL City pada minit ke-62 selepas menerima bola sepakan penjuru dari rakan sepasukan.
Usaha keras KL City akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Mohamed Syamer Kutty Abba memanfaatkan peluang daripada sepakan penjuru untuk merembat masuk gol yang dicari-cari oleh pasukannya. – KOSMO! ONLINE