PETALING JAYA – “Paling kecil RM300 dan yang besar sekali RM20,000.”
Demikian perkongsian seorang individu dalam satu klip video yang memberitahu harga bagi sebiji batu yang dijuall peniaga kaki lima di ibu kota.
Menurut lelaki terbabit, meskipun kelihatan seperti batu di tepi jalan, namun peniaga terbabit mendakwa batu berkenaan mempunyai bahan berharga termasuk berlian.
Difahamkan klip video tersebut dirakam di sebuah kawasan di Bukit Bintang, namun tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada batu itu betul mempunyai berlian atau sebaliknya.
Menjengah ke ruangan rata-rata pengguna media sosial meninggalkan pelbagai komen yang mengecam tindakan tidak masuk akal peniaga terbabit.
“Kalau betul ada yang beli dan percaya memang bongok, kalau betul batu itu harga beribu riban buat apalah dia duduk di situ jual batu. Benda boleh kaya kenapa nak duduk tepi jalan,” komen Amalina Zainuddin.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Arib Noor Abidin.
“Aku yakin mesti orang beli, pasal orang Malaysia ni dia percaya pada batu-batu,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE