HELENA, MONTANA – Seramai empat orang cedera selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas dan merempuh beberapa pesawat lain ketika mendarat di sebuah lapangan terbang di negeri Montana, Amerika Syarikat, lapor akhbar New York Post.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Kalispell City, daerah Flathead kelmarin.
Pesawat jenis turboprop Socata TBM 700 itu dipercayai hilang kawalan ketika cuba mendarat.
“Ia kemudian terhempas ke landasan sebelum melanggar beberapa pesawat yang diletakkan sehingga mencetuskan kebakaran besar,” kata Ketua Bomba Kalispell, Jay Hagen.
Rakaman video kejadian menunjukkan api menyambar di kawasan berumput sambil mengeluarkan asap tebal ke udara.
“Tiga penumpang berjaya menyelamatkan diri sejurus selepas pesawat itu berhenti. Mangsa yang cedera dirawat di tempat kejadian,” tambah Hagen. – AGENSI