PENGENDALI Kuala Lumpur City, Risto Vidakovic lebih selesa memberi perhatian kepada persiapan sendiri bagi menghadapi Sabah pada aksi kedua Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.
Tanpa mengira apa yang sedang dipersiapkan oleh The Rhinos, Vidakovic percaya para pemainnya semakin menunjukkan peningkatan untuk menghadirkan kemenangan sulung di gelanggang sendiri.
“Kami perlu terus bekerja untuk menjadikan pasukan kami lebih baik dari semasa ke semasa. Saya yakin yang kami kini sedang menuju ke arah lebih baik dari hari demi hari,” katanya.
Sebelum ini, skuad The City Boys meleburkan penantian 30 tahun untuk memulakan musim dengan nota kemenangan apabila menewaskan Imigresen FC 3-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan pada aksi pembukaan Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Vidakovic merasakan tiga mata pada perlawanan pertama menjadi perkembangan positif buat pasukan bagi memburu lebih banyak kemenangan pada aksi selepas ini.
“Saya fikir ia (kemenangan pertama) adalah penting untuk kami mendapatkan lebih keyakinan kerana kali ini kami dibarisi ramai pemain baharu.
“Bukan senang untuk membina pasukan apabila ada ramai pemain baharu dimana kami hanya dapat bersama kira-kira dua minggu. Tetapi semua itu tidak jadi masalah besar kerana seluruh pasukan terus bekerja keras,” katanya.