GUA MUSANG – Mangsa kemalangan, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dan adiknya, Nor Aina Imra, 21, sempat bercakap dengan ibu mereka kira-kira setengah jam sebelum terkorban dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan treler pagi semalam.
Adik mereka, Muhammad Fakris, 23, berkata, ketika kejadian pada pukul 9 pagi itu, abang dan adik perempuannya dalam perjalanan dari Lembah Klang untuk pulang ke rumah mereka di Pasir Mas.
Nahas turut meragut nyawa dua anak Muhammad Faiz iaitu Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, manakala isterinya yang juga pemandu kereta Honda Civic EK cedera parah.
“Kami sekeluarga terkejut apabila menerima berita abang, adik dan dua anak saudara terlibat dalam kemalangan di Gua Musang.
“Saya ada menghubungi adik (Nor Aina) pada pukul 7.30 pagi. Arwah beritahu dia masih berada di luar Gua Musang.
“Kira-kira sejam kemudian pada pukul 8.30 pagi, ibu kami (Shahima Hamid) pula menghubungi dan bercakap dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Gua Musang di sini semalam.
Menurut pemuda itu, mereka sekeluarga hanya mengetahui keempat-empat mangsa meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi kira-kira sejam setengah selepas kejadian.
Katanya, kesemua mangsa yang menghadiri menyertai Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor pada Sabtu lalu sempat menziarahi ibu saudara mereka di Kuala Lumpur sebelum bertolak pulang ke Pasir Mas awal pagi semalam.
“Abang sekeluarga dan adik saya tinggal bersama ibu bapa kami di Kampung Padang To’ La, Pasir Mas. Jenazah empat sekeluarga itu dibawa pulang ke Pasir Mas untuk pengebumian,” katanya.













