fbpx
Nora Ariffin.

‘Kuasa talak bukan di tangan wanita, dia masih tak nak cerai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Masih buntu, proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara penyanyi Datuk Nora Ariffin dan suami, Dr. Rushdi Ramli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini akan dibawa ke hakam selepas gagal mencapai kata sepakat.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 52, berkata, suaminya tetap kekal dengan pendirian enggan bercerai walaupun sudah menunaikan segala permintaan lelaki terbabit sebelum ini.

“Kes kami (perceraian) kini bakal diteruskan pula ke proses hakam kerana Dr. Rushdi masih kekal dengan pendiriannya sebelum ini.

“Saya dah buat apa yang perlu dan saya juga sudah tunaikan segala permintaan, malangnya kuasa talak bukan di tangan wanita,” katanya kepada Kosmo! Online selepas selesai sesi JKP di sini, hari ini.

Tanpa ditemani peguamnya, Sarah Mohd. Ali, Nora menghadiri prosiding JKP terbabit dengan kakak angkat juga wakil dilantiknya untuk proses tersebut, Rafeah Ariffin.

Pada masa sama, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu turut menyatakan harapan untuk hidup dalam lingkungan lebih positif.

“Kalau masih ada pihak nak berhujah, silalah berhujah dengan suami puan (isteri pertama).

“Saya tak nak masuk campur, kalau boleh saya nak segera keluar daripada persekitaran yang toksik ini,” ujarnya.

Dia juga menegaskan lebih selesa memilih untuk tidak mengaitkan keluarga madu dalam kemelut rumah tangganya.

“Saya tak nak komen fasal keluarga isteri pertama, saya cuma nak sentuh tentang isu saya sahaja. Terserah merekalah,” katanya ringkas.

Katanya lagi, dia tetap dengan keputusan untuk bercerai selain enggan menarik balik permohonan perceraian yang diajukan sebelum ini.

Menurut ibu kepada empat anak itu, tarikh sebutan kes bagi proses hakam pula ditetapkan pada 3 September depan.

Berkaitan soal nafkah, Nora juga enggan berkongsi perkara yang disifatkan lebih kepada hal peribadi.

“Setakat ni fasal nafkah, apa saya boleh kata cuma, alhamdulillah,” jelasnya.

Terdahulu, krisis rumah tangga pasangan terbabit menjadi perhatian pada 12 Ogos tahun lalu Nora memuat naik video suaminya melafazkan cerai.

Begitupun mereka rujuk namun campur tangan pihak luar didakwa terus berpanjangan membuatkannya memfailkan permohonan cerai pada 21 April lalu.

Nora menjadi isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya sekitar akhir 2021.

Sebelum ini Nora berkahwin dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 namun dia meninggal dunia akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI