fbpx
JOHOR (jersi biru) pernah dikecewakan PDRM sewaktu edisi final Piala Agong tahun lalu.

Johor belanja besar buru gelaran Piala Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD ragbi Johor dilihat berbelanja besar dalam misi menjulang semula Piala Agong 2025 apabila mengikat bekas jurulatih Bunga Raya 15’s, Rodney So’oialo selain membawa masuk empat pemain import berkualiti tinggi.

So’oialo yang juga bekas bintang New Zealand All Blacks diberi kepercayaan mengemudi skuad tersebut yang kali terakhir meraih gelaran pada 2017 selepas turut menjuarainya pada 2013 dan bergelar naib juara tahun lalu.

Empat import baharu pula ialah tiga dari Fiji, Tamanitoakula Kolinio Yabia, Turuva Serupepeli dan Revouvou Vatemo serta pemain New Zealand, Jacob Henry Denyer.

Majlis menandatangani kontrak turut diserikan dengan kehadiran legenda ragbi dunia yang juga Duta Sukan Johor, Sonny Bill Williams.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU), Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, persiapan awal kali ini penting bagi memastikan Johor bersedia sebelum aksi pembukaan menentang Pahang di Stadium Ragbi Johor pada 6 September ini.

“Johor telah merangkul kejuaraan sebanyak dua kali pada 2013 dan 2017 serta muncul naib johan pada 2024.

“Persediaan lebih awal pada tahun ini diharap dapat memastikan pasukan Johor benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran musim ini,” katanya.

Sementara itu, Williams yang juga legenda ragbi New Zealand turut memberi kata-kata semangat kepada pasukan Johor menjelang Piala Agong.

“Setiap kejayaan besar diraih adalah permulaan kecil, tetapi bagaimana kita mencorakkannya akan menentukan impak besar dalam menghasilkan kejayaan sesebuah pasukan,” tambahnya.

Kombinasi jurulatih berprofil tinggi dan pemain import handalan dunia jelas menjadi taruhan Johor untuk mengembalikan trofi berprestij itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI