SEPANG – Empat lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam kegiatan ‘ulat’ emas dan telefon pintar ditahan dalam operasi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Penahanan kesemua suspek itu dibuat hasil risikan awal dan pemprofilan oleh pihak Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di KLIA.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, dam operasi tersebut, pelbagai barangan dengan jumlah anggaran keseluruhan RM187,742 turut dirampas.
“Antara barangan dirampas termasuklah tiga unit barang kemas dipercayai emas dengan anggaran nilai RM160,000 selain 12 unit telefon pintar pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM22,700, wang tunai
sebanyak RM5,042 dan lima pasport antarabangsa milik warga Bangladesh.
“Kesemua suspek telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Tiga daripada mereka disyaki melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang diberikan, manakala seorang lagi disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Laporan polis turut dibuat susulan penahanan dan rampasan tersebut.
AKPS berkata, kesemua individu tersebut diserahkan kepada Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) Selangor untuk siasatan lanjut dengan proses pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Kejayaan ini membuktikan kerjasama dan keberkesanan pasukan keselamatan di pintu masuk negara dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
“Ia termasuk menyekat kemasukan elemen-elemen tidak diingini yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE