NARATHIWAT, THAILAND – Pembebasan mutlak Eda Ezrin menjadikan Penjara Pusat Narathiwat di sini seolah-olah hilang ‘seri’ apabila penjara tersebut yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai ketika penyanyi Bae Sobar Bae itu menjalani tahanan sementara bermula November tahun lalu .
Seorang pegawai penjara wanita yang enggan dikenali berkata, Penjara Wilayah Narathiwat menjadi tumpuan seluruh masyarakat Thailand termasuk rakyat Malaysia sejak Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berada dalam tahanan selama sembilan bulan.
“Kehadiran Eda Ezrin boleh diibaratkan sebagai penyeri meskipun dia adalah orang tahanan. Dia bagaikan sekuntum bunga yang sering menjadi perhatian dalam kalangan tahanan wanita di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bercerita lebih lanjut, pegawai itu memberitahu, Eda Ezrin disifatkan sebagai seorang yang berdisiplin dan sentiasa menjaga penampilan supaya sentiasa kelihatan cantik.
“Dia memang benar-benar cantik terutamanya sejak kebelakangan ini. Sebab itu dia sentiasa menarik perhatian.
“Selain itu, Eda Ezrin juga sentiasa mengikuti aktiviti di penjara termasuk termasuk mendalami ilmu agama dan membaca al-Quran,” ujarnya.
Sementara itu, pegawai kanan penjara itu yang mesra dengan panggilan Abang Mat turut mengakui pembebasan Eda Ezrin seolah-olah ‘melenyapkan’ seri pusat tahanan itu.
“Hilang seri penjara kami. Wartawan tidak akan datang lagi ke sini untuk membuat liputan berita,” katanya.
















