JAKARTA – Penduduk Pracimantoro, Wonogiri dalam wilayah Jawa Tengah digemparkan dengan penampakan susuk didakwa puntianak berpakaian serba putih berdiri di tepi jalan, lapor laman berita Radar Solo semalam.
Dalam satu video tular, seorang pemandu berhenti di tepi jalan untuk merakam lembaga itu dari jauh.
Kelibat berbaju putih dan berambut panjang itu didakwa puntianak yang berdiri di tepi jalan.
Ia mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk setempat terutamanya yang kerap melalui jalan tersebut pada waktu malam.
Bagaimanapun, Ketua Mukim Pracimantoro, Warsito, membantah keras dakwaan tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa ia mungkin plastik sampah yang ditiup angin.
“Ia berkemungkinan besar cuma plastik sampah yang tersangkut ranting dan ditiup angin.
“Ini kerana jalan tersebut memang kerap dijadikan tempat buang sampah secara sembarangan oleh pengguna jalan raya,” katanya seperti dipetik Joglo Semar News.
Warsito menambah, penduduk tidak perlu panik dan dengan mudah mempercayai khabar angin.
“Apa yang penting, jangan buang sampah sembarangan,” katanya. – AGENSI