fbpx
Alexander pada sidang akhbar demonstrasi sistem pembayaran ANPR sistem tol tertutup di Persada plus hari ini. -Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Bayar tol guna identifikasi nombor plat di 13 plaza tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) memulakan projek rintis sistem pembayaran terbuka tol berasaskan teknologi identifikasi nombor plat automatik (ANPR) membabitkan 13 plaza tol di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam persediaan ke arah pelaksanaan penuh sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF).

Menurutnya, sistem itu telah sedia dilaksanakan secara rintis di Lebuh Raya Utara-Selatan bagi laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua bermula Oktober ini sebelum diperluaskan ke keseluruhan jajahan lebuh raya di bawah Plus.

“Hari ini saya sendiri telah melalui lorong tol menggunakan sistem pembayaran terbuka tol ANPR tanpa henti dan terbukti jauh lebih pantas.

“Dengan sistem ANPR baru ini, pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan mana-mana lorong sedia ada. Malah, tiada kos atau caj akan dikenakan kepada rakyat untuk mendaftar dan mula menggunakan sistem ini,” katanya pada sidang akhbar di Persada Plus, di sini hari ini.

Beliau berkata, ANPR adalah permulaan strategik kepada pelaksanaan MLFF yang lebih cekap, efisien dan bebas kesesakan, yang akan kita laksanakan kemudian.

Menurutnya, MLFF yang dijangka bermula pada 2027 akan dilaksanakan sepenuhnya oleh industri tanpa sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

Mengulas mengenai ANPR, Alexander berkata, ia bukan sekadar mengimbas nombor plat, namun turut memadankan nombor plat dengan teknologi pengecaman kenderaan.

“Jika seseorang cuba menukar nombor plat, sistem akan mengesan ketidakpadanan antara plat dan ciri fizikal kenderaan. Ini berfungsi sebagai langkah keselamatan terhadap penipuan atau penyalahgunaan.

“Pengguna tidak perlu memperlahankan kenderaan atau berhenti dan boleh terus memandu tanpa gangguan. Sebaik sahaja nombor plat diimbas, caj tol akan ditolak secara automatik daripada akaun yang telah dipautkan,” jelasnya.

Katanya, semua transaksi pembayaran bagi sistem ANPR akan dibuat melalui aplikasi JustGO.

Beliau berkata, platform digital bersepadu itu berupaya menyokong pelbagai kemudahan tambahan serta mod pembayaran digital dan tanpa tunai, paparan e-invois selain semakan transaksi tol.

“Sekiranya akaun yang dipautkan tidak mempunyai baki yang mencukupi, sistem akan mengeluarkan caj tol susulan yang turut dilengkapi dengan elemen penguatkuasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI