fbpx
Pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret Jelebu hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya di Rompin, di Jempol, bulan lalu. - Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

Bapa didakwa bunuh, tanam mayat anaknya, Tishant

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELEBU – Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang ditanam di Rompin, Jempol, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Arunkumar, 36, yang kelihatan sugul di kamar mahkamah kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya, Tishant berusia enam tahun.

Perbuatan itu dilakukan di antara pukul 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan kilometer 25, Jalan Rompin-Bahau di Jempol pada 23 Julai lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan sehingga 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi dan tertuduh tidak diwakili peguam. Majistret Norshazwani Ishak kemudiannya menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.

28 Julai lalu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, ditemukan mati dengan mayatnya ditanam di Jempol.

Siasatan awal di lokasi mendapati suspek menggunakan cangkul bagi menggali lubang sebelum menanam kanak-kanak tersebut. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan di leher akibat jerutan pengikat kabel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI