SEREMBAN – Suspek yang merempuh seorang remaja menunggang motosikal hingga maut di Jalan Temiang, berhampiran simpang Bukit Jong, di sini, pagi tadi, dipercayai sedang melarikan diri daripada polis ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pemeriksaan ke atas kereta dipandu suspek yang ditinggalkan telah menemui pelbagai peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah rumah.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, suspek yang memandu sebuah kereta Mercedes-Benz telah memecut laju selepas menyedari terdapat anggota polis membuat rondaan sebelum merempuh seorang remaja yang juga anak anggota polis.
“Remaja berusia 18 tahun itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pam minyak berhampiran dengan menunggang motosikal.
“Suspek yang telah melarikan diri mempunyai lebih 10 rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Maqribah Salimah Taman Zaitun Indah Sikamat, di sini, petang tadi.
Sementara itu, bapa mangsa, Koperal Che Faizal Che Mohd, 44, berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menangkap suspek seterusnya membawa ke muka pengadilan.
Katanya yang bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, anak sulungnya, Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim Che Faizal ketika kejadian baharu sahaja pergi ke tempat kerja.
“Kebetulan saya tidur luar (ruang tamu). Anak saya kejut, salam beritahu nak pergi kerja tapi salamnya lain daripada kebiasaan kerana dia cium tangannya sendiri. Tak lama selepas itu, saya dapat panggilan rakan yang bertugas.
“Dia tanya berkenaan motosikal saya yang terbabit nahas dan saya segera ke lokasi, apabila sampai, saya lihat anak dalam keadaan tak sedarkan diri. Saya lihat bahagian hadapan motosikal hancur dan tayar juga tercabut,” katanya.
Menurutnya, anak sulung daripada lima beradik itu sepatutnya melanjutkan pengajian pada 5 Oktober ini di sebuah kolej di Kemaman, Terengganu dalam bidang marin. – KOSMO! ONLINE