PETALING JAYA – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya merampas 10.355 kilogram syabu, 3.60 kilogram pil ekstasi serta beberapa kenderaan di dua lokasi berasingan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.5 juta.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kejayaan itu membuktikan strategi pihaknya berjaya mengekang jenayah rentas sempadan yang semakin berani.
“Operasi ini adalah bukti komitmen berterusan PGA untuk memastikan keselamatan sempadan negara kekal terpelihara daripada ancaman penyeludupan dan aktiviti haram,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tangkapan itu hasil serbuan pada 21 Jun dan 22 Julai lalu untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia di sekitar Selangor di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Seramai 15 tekong darat, lapan rakyat tempatan dan tujuh warga Indonesia diberkas bersama 224 pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Tambahnya, sepanjang 1 Januari hingga 4 Ogos tahun ini, PGA Briged Tengah melaksanakan 288 serbuan di kawasan tanggungjawabnya meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Hasilnya, 1,005 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1.1 bilion.
Katanya, orang ramai diseru menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat segera bagi memastikan sempadan negara bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE