GEORGE TOWN – “Pada malam terakhir kami di Betong, kami semua tidur lewat dan bersembang sampai pukul 4 pagi. Waktu itu arwah ada cakap yang dia tak mahu mai (datang) ke sini lagi sampai bila-bila.”
Itu kata rakan konvoi kepada seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, Mohd. Shahrizal Kamal, 47, yang maut ketika dalam perjalanan ke Danok dari Betong, Thailand pada Sabtu lalu.
Mohd. Zahri Sulaiman, 43, berkata, dia sehingga hari ini masih terkejut dan terbayangkan kejadian yang menimpa sahabatnya itu selepas hampir dua jam mereka menunggang motosikal dan berhenti di sebuah gerai makan di Betong.
Menurutnya, arwah yang bekerja sendiri sebelum itu menyatakan keterujaan untuk berkonvoi buat kali pertama ke acara perhimpunan peminat motosikal tersebut bersama empat lagi rakan mereka.
“Kami bertolak dari Pulau Pinang ke Betong selepas Subuh, Jumaat lalu. Kami menginap di homestay dan sepanjang berada di sana, arwah memang tak banyak bercakap sedangkan saya mengenalinya sebagai individu yang peramah dan suka buat lawak.
“Saya memang tak fikir apa-apa dan pada sebelah pagi sebelum bertolak ke Danok, kami sempat makan bersama di sebuah gerai. Wajahnya nampak ceria walaupun dia banyak diam,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Menurutnya, motosikal jenis Suzuki GSX-S750 yang Mohd. Shahrizal tunggang dikatakan hilang kawalan ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan pusat pemeriksaan pasukan keselamatan sebelum bertembung dengan trak pikap yang dipandu seorang wanita.
“Arwah berperanan sebagai ‘leader’ dan akan berada di barisan paling belakang sepanjang konvoi. Sebelum tiba di lokasi kejadian, saya berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon tapi arwah dan rakan lain teruskan perjalanan.
“Dalam sekelip mata, saya lihat dari arah depan yang motosikal arwah sudahpun terbabas dan rakan lain cuba selamatkannya lalu saya terus bergerak ke arah mereka.
“Waktu itu, keadaannya parah. Dalam masa 10 minit di lokasi kejadian, kami sempat mengajarnya mengucap dan dia pula genggam kuat tangan serta kaki kami sebelum perlahan-lahan melepaskannya (menghembus nafas terakhir),” ujarnya arwah juga Presiden Kelab Ohsem Bikers.
Katanya, jenazah Mohd. Shahrizal dibawa pulang dari Hospital Sadao melalui Bukit Kayu Hitam ke Masjid Jamek Sungai Rusa di Balik Pulau petang kelmarin dan selamat dikebumikan pada pukul 6.30 petang hari yang sama.
Ahad lalu, Kosmo! melaporkan seorang rakyat Malaysia yang menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi ke ‘Bikers Week’ di Betong maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah trak pikap di Yaha, Wilayah Yala, Sabtu lalu,
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-S750 meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Yala.














