KUALA LUMPUR – “Dia kata ‘Prime Minister Anwar, fantastic work’. Dia guna istilah ‘fantastic’ tiga kali.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pujian yang diterima daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini.
Anwar berkata, pujian itu adalah susulan kejayaan Malaysia membawa Thailand dan Kemboja bersepakat menyelesaikan konflik seterusnya mencapai gencatan senjata antara kedua-dua negara.
“Cubaan pertama kurang berjaya, Trump telefon, China cuba ada kejayaan sikit. Maka Malaysia, Kementerian Luar, Panglima Angkatan Tentera dan semua berusaha setuju supaya Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja datang.
“Dalam tempoh dua jam setengah, alhamdulillah tercapai. Nama Malaysia harum di dunia dari Washington ke London, ASEAN orang berbicara kejayaan Malaysia.
“Kejayaan Malaysia satukan nama ASEAN untuk capai pendamaian dan kemajuan semua,” katanya ketika berucap merasmikan Program Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Anwar berkata, mesyuarat antara Thailand dan Kemboja akan diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin ini dengan dihadiri Menteri Luar kedua-dua negara bagi menetapkan perincian perkara berkenaan.
“Hampir setiap hari masih berhubung, malam tadi masih lagi dengan Perdana Menteri termasuk dari Kemboja. Dia kata, ‘Thank you very much Prime Minister, no more fighting’, tapi dia minta kita tolong.
“Kemboja dan Thailand datang ke Kuala Lumpur diselaraskan oleh Malaysia. Ini kemajuan kita, kalau negara porak-peranda, hari-hari ada tuntutan pergaduhan, siapa nak datang?
“Saya berterima kasih kepada beliau (Trump), China, ASEAN, tapi jangan lupa jentera kita, tentera, pentadbiran, Kementerian Luar yang bekerja menjayakannya.
“Saya bangga sebagai anak Malaysia kerana Malaysia dipercayai,” kata beliau.
Kosmo! hari ini melaporkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) berkaitan kawasan persempadanan yang menjadi pertikaian Thailand dan Kemboja.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, mesyuarat itu dijangka diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada minggu depan. – KOSMO! ONLINE