fbpx
Dengan berat sekitar 127kg dan tempat duduk setinggi 780mm, skuter ini mudah dikendalikan sama ada untuk pengguna lelaki mahupun wanita. – Foto AMIR KHALID

Skuter kompak, tangki besar, jimat bahan api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini pasaran skuter menjadi semakin kompetitif dan banyak syarikat pengeluar bersaing mempertaruhkan produk mereka di pasaran.

Salah satu syarikat pengeluar motosikal, QJMOTOR Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan suasana ‘perang skuter’ yang sedang berlangsung dengan memperkenalkan model skuter kompak terbaharu mereka iaitu QJMOTOR AX200S.

Malah, skuter buatan China ini hadir dengan prestasi yang mengagumkan serta reka bentuk moden dan ditawarkan pada harga mampu milik.

Skuter ini dikuasakan dengan enjin 175 cc, silinder tunggal 4-injap SOHC dan dipadankan dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin ini mampu menjana kuasa maksimum 17hp pada 8,500rpm dan tork maksimum 15.2Nm pada 6,500rpm.

Kuasa ini dipadankan dengan sistem transmisi CVT dan penghantaran akhir menggunakan tali sawat memudahkan pengendalian tanpa perlu pertukaran gear manual dan sesuai untuk penunggangan lancar di kawasan bandar mahupun lebuh raya.

Penulis berpeluang untuk menunggang uji skuter ini untuk beberapa hari dan berpuas hati dengan kuasa yang dihasilkan.

Dengan saiznya yang kompak tetapi dilengkapi enjin 175cc membolehkan skuter ini meluncur dengan begitu berkuasa di jalan raya.

Malah, skuter ini terasa ringan untuk dikendalikan di jalan raya dan mudah untuk ‘menyelit’ dalam keadaan jalan raya yang sesak.

Skuter ini terasa ringan untuk dikendalikan dan mudah untuk ‘menyelit’ dalam keadaan jalan raya yang sesak.

Dari segi dimensi, QJMOTOR AX200S ini hadir dengan ukuran panjang 1,930mm, lebar 720mm, tinggi 1,120mm, serta jarak roda 1,340mm.

Ketinggian tempat duduk adalah 780mm, manakala jarak ke tanah ialah 145mm yang memberikan tunggangan stabil dan mudah dikendalikan.

Skuter ini tidak terlalu tinggi serta tidak juga rendah dan penulis yang berketinggian 175 sentimeter (sm) dapat menunggang dengan selesa.

Dengan berat sekitar 127 kilogram (kg) dan tempat duduk setinggi 780mm, skuter ini mudah dikendalikan sama ada untuk pengguna lelaki mahupun wanita.

Untuk sistem suspensi, skuter ini dilengkapi fork teleskopik di hadapan dan dual shock absorber coil spring yang berkesan menyerap hentakan dan getaran jalan raya sekali gus memberikan keselesaan yang konsisten di atas pelbagai jenis permukaan jalan.

Tayar pula menggunakan jenama CST, bersaiz 100/80 untuk rim 14 inci di hadapan dan 120/70 14 inci di belakang, kedua-duanya jenis tanpa tiub ataupun tubeless untuk keselamatan dan ketahanan maksimum.

Skuter ini juga dilengkapi dengan sistem brek cakera di kedua-dua roda dengan cakera berdiameter 230mm di hadapan dan 220mm di belakang.

Ia dipadankan dengan sistem ABS dwisaluran untuk kestabilan brek yang lebih baik dalam situasi kecemasan.

Malah, QJMOTOR AX200S tampil dengan rekaan aerodinamik yang padat dan bergaya.

Terdapat ruangan penyimpanan di bawah tempat duduk.

Lampu hadapan LED sepenuhnya bukan sahaja menambah penampilan moden, malah memberikan pencahayaan yang terang di waktu malam.

Turut disertakan adalah dua unit winglet di bahagian hadapan skuter sebagai pelengkap aerodinamik pada sisi motosikal yang membantu penunggang motosikal untuk mengekalkan kestabilan skuter dengan memotong angin dari arah hadapan.

Skuter ini juga dilengkapi dengan paparan skrin digital berwarna dan menampilkan informasi penting seperti kelajuan, paras minyak dan suhu enjin secara jelas.

Selain itu, turut disertakan port pengecasan USB Type-A dan Type-C yang terletak di ruang simpanan hadapan seterusnya memudahkan penunggang mengecas peranti ketika dalam perjalanan.

Kapasiti tangki bahan api skuter ini adalah 10 liter dan dilengkapi dengan sistem bahan api Electronic Fuel Injection (EFI) yang menjamin penjimatan bahan api dan kelancaran pembakaran.

Dengan kapasiti tangki yang besar dan disertakan dengan sistem yang menjamin penjimatan bahan api pengguna tidak perlu berulang kali untuk mengisi minyak.

Skuter ini juga disertakan dengan sistem keselamatan Side Stand Safety Switch untuk mengelakkan enjin dihidupkan ketika tongkat sisi diturunkan.

Sistem kunci pintar (keyless) dan kunci mekanikal juga tersedia untuk kemudahan dan pilihan penunggang.

Untuk kawalan tambahan, QJMOTOR AX200S turut dilengkapi sistem Traction Control yang boleh ditukar (TCS) bagi mencegah gelinciran tayar ketika permukaan jalan licin, meningkatkan tahap keselamatan semasa tunggangan.

Ruang simpanan bawah tempat duduk juga disediakan untuk menyimpan barang harian dengan lebih mudah.

Skuter ini didatangkan dengan tiga pilihan warna pilihan iaitu Grey, Moon Blue dan Sand Brown.

Harga yang ditawarkan adalah RM7,988 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Malah, QJMOTOR AX200S memberi pilihan segar kepada rakyat Malaysia yang mencari skuter harian bergaya, selesa dan berkuasa tanpa perlu mengeluarkan bajet besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN