KECIL tapi padu. Itu boleh digambarkan pada kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Honda WR-V yang direka untuk memenuhi cita rasa urban moden.
SUV bersaiz kecil ini terus mendapat permintaan tinggi daripada pengguna kerana harga yang dikatakan mampu milik dan ciri-cirinya lebih praktikal berbanding model pesaing.
Adik kepada Honda HR-V ini menerima hampir 7,000 tempahan selepas dua bulan dilancarkan pada tahun 2023 dan trend permintaan terus meningkat sehingga kini.
Untuk pasaran Malaysia, WR-V yang diambil daripada akronim ‘Winsome Runabout Vehicle’ ini menawarkan empat varian iaitu S model paling asas dijual pada harga RM89,900 diikuti E (RM95,900), V (RM99,900) dan tertinggi RS (RM107,900) yang menjadi varian paling laris dijual.
Kehadiran WR-V mencerminkan strategi Honda Malaysia dalam memperluas penawaran SUV mereka, selari dengan perubahan trend pengguna tempatan yang semakin cenderung kepada kenderaan lebih tinggi.
Dengan enjin 1.5 liter naturally aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat silinder, SUV kompak ini mampu menghasilkan kuasa 121PS dan tork maksimum 145Nm.
Ia digandingkan dengan transimisi CVT automatik yang memacu roda hadapan selain penawaran sistem keselamatan yang membuktikan SUV kompak ini tidak berkompromi dengan gaya dan teknologi.
Dengan kelajuan maksimum 160km/j, varian RS boleh memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 11.3 saat.
Kesemua varian dilengkapi dengan suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan torsion beam di belakang.
Sebagai peminat jenama ‘H’, penulis teruja apabila diberi peluang untuk memandu uji WR-V kerana penulis meminati SUV terutama yang bersaiz kecil.
Bagi penulis, saiz kereta ini yang berdimensi 4,060 milimeter (mm) panjang, 1,780mm lebar, 1,608mm tinggi dan jarak antara roda 2,485mm amat praktikal untuk pemanduan di bandar, laluan kampung serta perjalanan jarak jauh.
Penulis dengan keluarga kecil seramai lima orang telah memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson bagi merasai sendiri pengalaman menarik memandu WR-V.
Ketika melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, pedal jentera ini ditekan sehingga had kelajuan mencapai sekitar 120km/j dan sedikit ‘mengaum’ apabila melebihi 150km/j.
Namun, penulis agak kagum kerana pecutan yang diberikan agak baik dan responsif, SUV kompak ini mampu memecut dengan laju dan stabil setanding kereta SUV yang lebih berkuasa di pasaran.
Jadi benarlah pepatah, kecil-kecil cili padi, keupayaan yang diberikan di luar daripada saiznya yang kecil, amat selesa dipandu. Penumpang yang berada di bahagian belakang juga berasa selesa sepanjang perjalanan, malah olengan badan jentera ini stabil ketika penulis mengambil selekoh tajam.

Perjalanan diteruskan secara santai sebaik sahaja memasuki Seremban menuju ke Port Dickson apabila penulis sengaja memilih jalan kampung dan kawasan pekan kecil bagi mengambil ‘angin’ pantai.
Kereta ini tidak terlalu agresif tapi prestasinya menjadikan pilihan pengguna terutama varian RS yang mengagumkan dan sesuai untuk mereka yang mahukan kereta kompak, tinggi, berprestasi dan selesa.
Pemandu wanita dan pengguna yang baharu memiliki lesen disaran memilih SUV kompak ini yang menawarkan semua ciri-ciri yang anda inginkan, paling penting yakin ketika memandu.
WR-V hadir dengan ciri-ciri keselamatan canggih seperti Honda LaneWatch pada semua varian dan Honda Sensing yang mengandungi lapan ciri keselamatan.
Antara ciri-ciri keselamatan itu seperti Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Lead Car Departure Notification), Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control), Sistem Amaran
Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning).
Sebagai tambahan, varian RS turut dilengkapi dengan Honda Connect untuk menyediakan keselamatan, sekuriti dan keselesaan untuk para pemilik kenderaan itu.
Tarikan utama WR-V adalah dari segi rekaan luarnya yang minimalis tetapi nampak sporty dan struktur badannya yang sedikit melengkung memberikan gaya tegap. Varian RS hadir dengan gril gaya butiran berwarna krom perak, hiasan bawah bertona perak cerah dan rim aloi bersaiz 17 inci.
Untuk bahagian hadapan, lampu WR-V kelihatan tajam dan diberikan lampu nyalaan siang serta lampu kabus dengan unit LED.
Meninjau ke ruangan kabin, rekaannya agak ringkas dengan warna bahagian dalam warna kelabu dengan skema warna merah bagi varian RS.
Ciri kelengkapan lain termasuk skrin infotaiment bersaiz tujuh inci, sistem audio dengan enam pembesar suara, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Aspek menarik lain, WR-V dilengkapi dengan Walk-Away Auto Lock yang berfungsi mengunci pintu secara automatik beberapa saat setelah pemandu keluar dari SUV kompak tersebut.
Kesimpulannya, WR-V pantas mencuri perhatian sebagai model paling kompetitif dalam kelasnya.
WR-V bukan hanya SUV kompak biasa sebaliknya pilihan seimbang untuk pengguna Malaysia yang mahukan fungsi, gaya dan prestasi tanpa berbelanja lebih untuk SUV bersaiz besar.














