fbpx
MUHAMMAD NOR AL FATEH berjaya menawan Gunung Angsi pada usia tiga tahun.

Budak tiga tahun tawan Gunung Angsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK ramai ibu bapa sanggup membawa anak kecil mendaki, apatah lagi perlu meredah laluan mencabar di Gunung Angsi, Negeri Sembilan yang berketinggian 825 meter.

Namun, berbeza dengan Muhammad Nor Akmal Jemain yang selesa mendaki bersama anaknya berusia tiga tahun, sekali gus menjadi bukti bahawa aktiviti tersebut sesuai dilakukan seisi keluarga.

Bersama 10 orang kumpulan Tupai Hikers, pemuda berusia 29 tahun itu dan anak lelakinya, Muhammad Nor Al-Fateh berjaya mendaki Gunung Angsi menggunakan laluan Bukit Putus.

Menurut Muhammad Nor Akmal, anaknya menunjukkan semangat luar biasa sepanjang pendakian, meskipun hanya dia seorang kanak-kanak dalam kumpulan tersebut.

“Pada awalnya, Muhammad Nor Al-Fateh memang tak mahu didukung langsung.

“Dia nak jalan sendiri. Selepas itu, apabila sudah letih, baru dia minta didukung.

“Selepas berehat, dia akan jalan semula. Apabila penat, dia minta didukung balik.

“Paling menarik, dia langsung tidak menangis atau tantrum,” katanya kepada CitaRasa.

Muhammad Nor Akmal menekankan kepentingan membuat persediaan fizikal dan mental sebelum membawa anak kecil mendaki.

Sebagai langkah awal, juruteknik di sebuah syarikat swasta itu membawa anaknya mendaki Bukit Wawasan di Puchong, Selangor sebanyak beberapa kali.

Langkah itu diambil bagi membiasakan anak sulungnya dengan suasana hutan yang berbeza daripada persekitaran harian.

Muhammad Nor Akmal turut memakaikan anaknya pakaian sesuai, selain membawa ponco, makanan ringan dan set pertolongan cemas sebagai persediaan tambahan.

Selain itu, dia juga meneliti laluan pendakian, memantau keadaan cuaca dan mendapatkan maklumat daripada pendaki lain sebelum memulakan perjalanan.

Kumpulan mereka memulakan pendakian seawal pukul 7 pagi, sebelum sampai di puncak Gunung Angsi kira-kira tiga jam kemudian.

Kehadiran Muhammad Nor Al Fateh di puncak gunung telah mencuri perhatian pendaki lain yang memberikan high five dan memuji semangatnya.

MUHAMMAD NOR AL FATEH mendapat perhatian ramai sebaik tiba di puncak Gunung Angsi di Negeri Sembilan.

“Setibanya di puncak, dia nampak teruja, walaupun masa itu sudah penat. Dia tak menangis atau meragam. Dia cuma duduk, selepas itu makan coklat sikit.

“Ramai juga yang bagi dia high five dan puji dia kuat. Ada yang cakap, dia bakal jadi pendaki tegar sebab kecil-kecil lagi sudah tawan Angsi,” katanya.

Turun dari Gunung Angsi melalui Ulu Bendul menjadi cabaran lebih besar buat Muhammad Nor Akmal kerana laluan sempit dan berbukit curam.

Sepanjang perjalanan turun, Muhammad Nor Akmal terpaksa mendukung anaknya sambil melangkah perlahan-lahan bagi mengelak risiko terjatuh.

Kongsi lelaki berasal dari Klang itu, perjalanan turun memerlukan fokus penuh kerana sedikit kecuaian boleh mengundang bahaya.

“Laluan Ulu Bendul ini memang sempit, di mana kiri dan kanan ada cerun. Ketika itu, anak saya sudah tidur, jadi saya kena dukung dia.

“Ada masa saya kena bagi anak kepada kawan dulu sebelum saya turun ke bawah. Kalau saya turun sekali dengan dia (anak) takut kami tergelincir,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nor Akmal menyarankan agar ibu bapa mendedahkan anak-anak dengan alam semula jadi.

Ujarnya, mendaki bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu menguatkan antibodi kanak-kanak.

Dia memaklumkan, ibu bapa tidak perlu risau tentang kotoran atau risiko-risiko kecil, sebaliknya fokus membuat persediaan rapi.

“Jangan terlalu biasakan anak dengan gajet. Biarkan mereka teroka dunia sebenar melalui aktiviti luar seperti mendaki atau bermain di taman.

“Dari situ, anak-anak boleh belajar banyak perkara, guna deria mereka sepenuhnya dan menjadi lebih aktif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN