BARCELONA – Pemain muda sensasi Barcelona, Pedro Fernandez dijangka menjadi rebutan Filipina dan Sepanyol yang sedia untuk menawarkan tempat dalam skuad kebangsaan negara masing-masing pada masa terdekat.
Sebagai rekod, Fernandez yang lebih mesra dengan panggilan Dro telah mempamerkan impak tersendiri apabila meledak gol pertama pada aksi persahabatan menentang Vissel Kobe ketika pasukan menang 3-1, Ahad lepas.
Prestasi cemerlang Dro menarik perhatian jurulatih The Catalans, Hansi Flick dengan ramai peminat menganggap pemain berusia 17 tahun adalah pewaris kepada legenda Barcelona, Paulino Alcantara.
Alcantara adalah pemain terakhir berdarah Filipina yang memberikan impak di Camp Nou apabila meledak 395 gol selepas mewakili pasukan bermula 1912 hingga 1927.
Kini, Dro yang memiliki darah campuran Filipina dan Sepanyol dipercayai memiliki potensi yang sama memandangkan kebolehannya beraksi di posisi penyerang.
Ini bukanlah kali pertama pemain Barcelona menjadi rebutan dalam skuad kebangsaan apabila bintang sensasi, Lamine Yamal turut dirisik negara Maghribi sebelum mengesahkan kesetiaan bersama Sepanyol. – AGENSI