fbpx
Triple strike yang menjadikan keadaan huru-hara seketika, namun dapat dikendalikan dengan baik dan semuanya dapat didaratkan.

Serangan ebek kapak Penyabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan ebek kapak merupakan pemecut dengan kelajuan tinggi yang sering berhasil mengalahkan pemancing menerusi benaman pergi tidak kembali, jika tidak mengendalikannya dengan baik.

Kehadirannya dalam jumlah yang banyak amat jarang berlaku, dan ia tidak kekal lama di satu lokasi. Jika terserempak, ia dikira sebagai bonus.

Ini kerana, berkemungkinan ikan itu bergerak secara kumpulan besar, dan ada dalam kumpulan kecil.

Pemancing Kota Tinggi vs Muar

Gandingan pemancing dari daerah Kota Tinggi dan Muar yang diketuai oleh saudara John menjadi kumpulan bernasib baik. Beberapa orang pemancing merupakan muka-muka baharu yang ‘diracun’ untuk meman­cing di laut.

Isu utama adalah kerisauan ter­hadap ketahanan mereka dengan mabuk laut. Nasib baik pihak penganjur telah menyuruh mereka makan ubat tahan mabuk pada awal pagi sebelum menaiki bot. Ternyata penggunaan ubat ini membantu kerana hanya seorang yang tewas sepanjang sesi pancingan.

Mereka yang baru pertama kali turun memancing di laut boleh memilih untuk menggunakan teknik memancing dasar berumpankan udang hidup atau teknik jigging mengikut kesesuaian set pancing masing-masing.

Pada awal pagi, saya terus memecut bot baharu saya iaitu bot Putih Putih Melati 3 separa kabin bernadikan dua buah enjin Mercury 115 kuasa kuda terus ke lokasi pertama sejauh lebih 20 batu nautika dari Jeti Penyabong.

Cuaca dengan angin yang cantik menjadikan perjalanan lancar dan kami hanya mengambil masa 50 minit perjalanan.

Tapak unjam lama

Lokasi pertama pilihan saya me­rupakan tapak unjam lama di perairan Tokong Burung, Pahang yang kebiasaannya menjadi tempat ter­akhir saya pada trip-trip lalu, tetapi saya mengubah laluan trip dengan pergi ke lokasi paling jauh dahulu kerana mengikut jangkaan kajian cuaca, angin akan berubah menjadi lebih kencang pada waktu petang.

Amirul konsisten mendaratkan ikan tenggiri bonus yang terpedaya dengan teknik fast jigging.

Saya susun pemancing mengikut teknik masing-masing. Bagi yang menggunakan teknik fast jigging, saya suruh mereka memancing di haluan bot. Bagi yang menggayakan teknik light jigging, mereka perlu berada di tengah bot. Pemancing dengan teknik dasar berhanyut berada di buritan.

Tiga kali saya berulang melalui kawasan lubuk, dan kami mendapat tiga rembatan sekali gus. Ikan pertama yang berjaya didaratkan merupakan satu-satunya ikan tenggiri yang
didaratkan oleh Amirul pada trip tersebut.

Ikan kedua adalah aruan tasik dan yang ketiga merupakan
ikan ebek kapak ‘gincu kuning’, iaitu gelaran bagi ebek kapak bersaiz
kasar dengan bibirnya berwarna kekuningan.

Pembukaan yang baik, lantas mendorong saya untuk melabuhkan sauh di lokasi tersebut. Saya menyarankan semua orang untuk menyasarkan kepada teknik pancingan ikan ebek sama ada menggunakan teknik dasar atau light jigging kerana saya melabuhkan sauh jauh dari kawasan karang.

Perambut yang digunakan untuk pancingan dasar hanya berkekuatan 30 paun (lb) dan jarak perambut panjang sedepa bagi membolehkan umpan udang hidup berenang bebas ‘menggoda’ pemangsa.

Tidak menunggu lama, umpan udang hidup yang diturunkan disambut terus oleh ikan ebek kapak kedua.

Namun, kemeriahan menjadi hambar apabila dua kali berlaku kejadian perambut putus hingga menyebabkan ikan tidak mahu menjamah umpan lagi.

Jigger kental

Suasana suram tidak berpanjangan apabila usaha John yang kental menggayakan jig membuahkan hasil setelah beberapa ekor ikan ebek kapak berjaya didaratkan.

Ikan-ikan ini didaratkan dengan menggunakan joran Extend Shard 30 Slow Jigging PE1 digandingkan kekili Banax Camion 305 yang dimuatkan tali utama Shimano Grappler PE 1.5 berserta shockleader fluorocarbon Daiwa J

Thread 25lb Storm dan ‘berpelurukan’ jig Storm Gomoku Slow Rocker 70g.

Kami beruntung kerana ikan tidak memilih untuk mengambil umpan hidup mahupun jig kerana kedua-dua kaedah membuahkan hasil.

Saya juga tidak melepaskan ­peluang menurunkan jig dan berhasil mendaratkan seekor ebek kapak bersaiz kasar.

Ikan bonus

Dalam kemeriahan melayan ikan ebek kapak, Ariff yang dalam kelesuan akibat mabuk laut melontarkan pertanyaan tentang kewujudan ikan gerong belang. Kebiasaannya, kawasan saya berlabuh itu kerap pemancing mendaratkan ikan tersebut yang telah dianggap sebagai ikan ikon Penyabong.

Saya beritahu dia supaya menurunkan jig kerana masih ada kemungkinan 50 peratus untuk mendapat ikan itu berbanding hanya bersandar melayan perasaan ‘pening’.

Tidak lama setelah dia ‘minta’ ikan gerong belang, jorannya dihenjut padu ke bawah bot. Dari tentangan yang diberikan, saya hampir pasti ia ikan gerong belang kerana tidak membuat benaman sepantas ikan ebek kapak.

Akhirnya, impian menjadi nyata dengan naiknya ikan idaman tersebut.

Kesimpulan

Kedatangan kumpulan ikan ebek kapak dalam jumlah yang besar tidak dapat dijangka. Lagi pun saya hanya membawa trip memancing pada hujung minggu dan semua bergantung kepada nasib.

Lokasi pancingan yang biasa saya pergi kadangkala disambut meriah dan bersulam sepi. Namun, jika kena dengan teknik, walaupun tidak banyak, kebiasaannya ada juga ikan ebek kapak yang sudi menjadi habuan pemancing.

Saya gemar menggunakan set pancingan halus kerana dapat mengurangkan peratusan ikan ebek kapak culas. Namun begitu, risiko amat tinggi jika berlaku insiden perambut atau tali utama putus kerana ia akan menyebabkan ikan menjadi takut dan berkemungkinan pergi meninggalkan lokasi pancingan.

Oleh itu, penetapan sistem tegangan perlu dalam keadaan yang sesuai dengan kekuatan paling minima.

Pemancing perlu faham dengan peralatan masing-masing seperti tidak menetapkan sistem tegangan terlalu ketat sedangkan hanya menggunakan perambut atau tali utama antara 15 hingga 20lb.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN