Terletak jauh di Laut Andaman, dalam perairan Zon Ekonomi Myanmar, Burma Bank merupakan satu dataran tinggi bawah laut seluas berpuluh-puluh kilometer. Dari segi rupa, ia seperti meja raksasa di tengah laut.
Oleh itu, kawasan ini menjadi tempat ikan berkumpul disebabkan struktur mega tersebut. Ikan gerepoh (GT), merah rubi (ruby snapper) merupakan antara spesies ikan buruan jika bertandang ke sini.
Walaupun jauh di Myanmar, namun ia tidak menghalang pemancing dari Malaysia untuk turun ke Burma Bank, antaranya Muhammad Redzuan Mohamed atau Wan yang menganjurkan trip ke sana.
Dari KL ke Ranong
Untuk sampai ke Burma Bank melalui Ranong di Thailand, terdapat dua cara, sama ada melalui jalan darat atau udara. Namun, bagi Wan bersama-sama 13 orang pemancing dari Kuala Lumpur, mereka telah memilih memandu pacuan empat roda selama lapan jam dari Kuala Lumpur.
Mereka melalui Wang Kelian di Perlis dan bermalam di Hatyai untuk berehat sebelum menyambung perjalanan selama kira-kira lapan jam lagi keesokan harinya untuk sampai ke jeti Ranong.
Menurut Wan, jika memilih jalan darat, disarankan untuk mengambil insurans daripada syarikat Malaysia dengan perlindungan Extension 101, dan insurans wajib Thailand bagi memastikan segala perjalanan terjamin.

Seperti semua sedia maklum, undang-undang jalan raya di Thailand begitu ketat dan tidak begitu ‘mesra’ kepada pelancong terutamanya yang memandu kenderaan sendiri.
Bot Lamlert
Di Ranong, tekong Nitiphat Phanitsukho sudah sedia menunggu di bot Lamlert kepunyaannya.
Usai memindahkan segala peralatan ke dalam bot, perjalanan diteruskan selama sejam lagi ke wilayah Kawthaung di Myanmar untuk pemeriksaan dokumentasi oleh pihak imigresen, pelancongan dan tentera Myanmar.
Setelah semua selesai, barulah perjalanan diteruskan menuju ke lokasi pertama yang mengambil masa selama 14 jam.
Sepanjang perjalanan, hujan dan ribut mengiringi sehingga menyebabkan tong berisi batu ladung hampir 50 kilogram (kg) ‘terbang’ keluar dari bot bersama-sama dua bateri untuk kekili elektrik akibat di lambung ombak tinggi.
Tuna sirip kuning
Akhirnya bot sampai ke lokasi pertama pancingan ketika malam menjelma. Di sini, teknik mengunjun jig waktu malam dipraktikkan bagi mengumpul ikan umpan daripada spesies tuna sirip kuning (yellow fin tuna).
Penggunaan kepingan jig luminous dengan berat antara 100 hingga 200 gram (g) diperlukan untuk menggoda sang tuna.
Rata-rata tuna yang dinaikkan adalah dalam lingkungan tiga hingga empat kilogram dan sambutan agak perlahan pada hari pertama ini.

Cukup kuota umpan, semua pemancing mengambil kesempatan untuk berehat sebelum menyambung sesi memancing di sebelah pagi.
Hari kedua
Selepas sarapan, bot mengangkat sauh untuk bergerak ke lokasi pertama pancingan dasar yang terletak berhampiran dengan Burma Bank.
Apabila sampai sahaja, masing-masing mengambil tempat dan bersedia dengan ‘senjata perang’.
Dengan purata kedalaman dasar hampir 300 meter (m), kudrat kekili elektrik amat diperlukan dan tali utama yang disarankan adalah berkekuatan 100 paun (lb) ke atas.
Manakala untuk batu ladung pula, masing-masing menggunakan berat di antara 1.5 hingga 3kg sebiji kerana arus pada waktu itu agak kuat.
Kebanyakan ikan yang berjaya dinaikkan adalah merah rubi dan kerisi bali.
Manakala ikan sasaran trip ini iaitu kerapu hitam gergasi atau dikenali sebagai kerapu long tan masih belum berjaya ditakluki.
Aktiviti pancingan dasar ini lebih banyak dilakukan pada waktu siang kerana pada sebelah malam, pemancing lebih mengkhususkan kepada acara jigging.
Hari ketiga
Seawal pukul 7 pagi waktu tempatan, sudah terpacak ahli trip bersama set pancingan masing-masing mengharapkan tangkapan mega, namun skripnya masih lagi sama seperti hari kedua.
Hanya ikan merah rubi dan kerisi bali yang sudi menjamah umpan potongan tuna, mungkin kami berada tepat di lubuknya. Tekong Nitiphat turut berasa hairan kerana lokasi yang bot berjangkar merupakan lubuk ikan kerapu long tan bersaiz gergasi.

Dalam pada itu, ada juga pemancing yang mendapat tangkapan bonus iaitu tiga ekor ikan yu sirip hitam dengan anggaran berat dalam lingkungan antara 50 hingga 80kg seekor.
Kesemuanya dilepaskan kembali kerana undang-undang di Myanmar tidak membenarkan sebarang penangkapan spesies ikan yu di perairannya. Malam itu, suasana sedikit ceria apabila beberapa ekor ikan GT
dan dogtooth tuna berselang-seli dinaikkan dengan kaedah jigging.
Kerapu hitam gergasi
Hari keempat barulah tuah menyebelahi, ikan sasaran yang dicari akhirnya berjaya dinaikkan. Sejumlah 10 ekor ikan kerapu long tan bersaiz di antara 15 hingga 25kg berjaya didaratkan.
Terukir senyuman di wajah-wajah peserta yang sememangnya sudah lama mendambakan tarikannya.
Selesai memancing pada hari tersebut, bot bergerak pulang menuju ke Kawthaung.
Hasil trip kali ini adalah ikan seberat hampir dua tan, dengan separuh daripadanya dijual kepada peraih, selebihnya diagihkan kepada peserta untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Penat? Semestinya. Namun, cabaran serta pengalaman selama lapan hari perjalanan ke bumi Myanmar pasti akan diabadikan dalam ingatan.















