Kami menaiki houseboat yang dikendalikan oleh Ali dari Pengkalan Gawi menuju ke Sungai Lawit yang bakal menjadi tempat pancingan untuk trip ini. Sepanjang perjalanan, langit mendung dan sesekali hujan renyai sentimental menemani perjalanan.
Sebaik tiba, saya dapati hanya sebuah houseboat yang berada di situ, dan kami bersauh kira-kira 700 meter dari mereka. Aktiviti pancingan terus bermula lewat petang itu.
Bagi kaki mengilat seperti Rahiman, Sidek, Razi, Faizal dan Hilmie, mereka bagaikan cacing kepanasan kalau tidak menerjah ke lubuk-lubuk berdekatan.
Lima minit sahaja mereka sudah bersiap dan terus bergerak menggunakan bot fiber yang tersedia.
Pada pukul 8.30 malam, mereka pulang ke rumah bot dengan sifar tangkapan. Bagi mengisi aktiviti malam, kami hanya memancing dari atas houseboat.
Lumrah pancingan dari houseboat pada waktu malam, ikan baung, temperas dan lampam akan mendominasi tangkapan. Pelbagai jenis umpan akan digunakan seperti cacing tanah, cengkerik, dedak, kelapa sawit dan umpan tapa.
Mengilat
Keesokan harinya, sebaik sahaja cuaca cerah, tiga buah bot fiber telah membelah tasik menuju lubuk pilihan masing-masing. Selepas sarapan pagi, saya bersama Haji Ehsan bergerak dengan bot ke teluk-teluk di belakang sebuah pulau.
Berumpankan dedak serta mata rambai, Haji Ehsan berjaya mendapat seekor baung di satu tunggul mati.
Kami berpindah lubuk dan terjumpa sekumpulan anak-anak toman yang bermain di permukaan air, satu jam lebih kami mengilat sambil mengikut pergerakan kumpulan anak-anak toman itu, tetapi induknya buat tidak tahu sahaja terhadap gewang kami. Mungkin ia sudah culas akibat pernah dipancing orang sebelum ini.
Kami terus mengilat di kawasan sekitar, hanya anak-anak sebarau yang mengejar gewang. Sesi ditamatkan dan kami terus pulang. Geng lain yang lepak di houseboat dapat ikan lampam, baung dan temperas.
Hujan renyai-renyai mulai turun sehingga ke malam hari.
Faizal dan Razi pulang dengan hasil tiga ekor sebarau dan seekor toman. Rahiman dan Sidek pula dengan empat ekor sebarau, manakala Helmie yang mengilat seorang diri di atas bot membawa balik dua ekor sebarau.

Hari ketiga
Keesokan paginya, kami bergerak secara konvoi dengan tiga bot ke sebuah pulau di tengah-tengah laluan utama di tasik ini. Kami mengepung sekumpulan toman bujang, namun gewang kami langsung tidak disentuh.
Kemudian, kami berpecah dengan haluan masing-masing. Saya bersama Hilmie ke arah sebelah kanan pulau.
Sebelum kami sampai ke lokasi yang berpotensi untuk sebarau, enjin bot dimatikan dari jauh lagi bagi menghilangkan bunyi bising serta alunan ombak.
Setelah beberapa kali membuat lontaran, akhirnya Hilmie memperolehi seekor sebarau dengan gewang warna merah putih berkilat.
Kemudian, sekali lagi dia mendapat strike, namun lucut.
Kami masih lagi meligan boiling sebarau. Tetapi ikan ini cukup bijak, ia hanya timbul dalam masa kurang 10 saat, kemudian tenggelam dan timbul semula di tempat lain.
Kami terpaksa berdiri untuk meninjau kawasan ia bermain sebelum dapat melontar gewang semula dengan pantas. Dengan cara ini barulah Hilmie dapat seekor lagi sebarau.
Tip keselamatan
Bot-bot fiber yang disediakan oleh houseboat di Tasik kenyir kebiasaannya bersaiz kecil. Oleh itu, disyorkan hanya dua orang pengilat untuk sebuah bot.
Ini kerana faktor keselamatan amatlah dititikberatkan.
Sebaik-baiknya, pergi ke sesuatu lokasi mengilat itu dengan dua atau tiga bot dan harus membuat perjanjian untuk bertemu semula pada sekian-sekian waktu.
Ini kerana, Tasik Kenyir ini luas, dan risiko tersesat itu besar. Jadi apabila berkawan, keselamatan juga dapat dipertingkatkan kerana bantuan mudah dan cepat diberikan kerana sesama pengilat itu berdekatan.
Selepas beberapa jam pemburuan sebarau dan toman, matahari semakin meninggi serta bahang kepanasan mula mencengkam. Kami berlindung di sebuah teluk yang redup sambil menikmati bekal makanan dibawa.
Kemudian, sebuah lagi bot fiber yang dikemudi oleh Sidek bersama Afiq turut berteduh, mereka hanya dapat seekor sebarau. Pada pukul 2 petang, kami pulang ke houseboat bagi memberi laluan kepada rakan-rakan lain menggunakan bot.
Hujan pula turun hingga menyebabkan saya hanya memancing dari houseboat.
Pada pukul 8.30 malam, Razi dan Faizal pulang dengan tangkapan dua ekor sebarau serta seekor toman.
Pada malam terakhir, kami lebih bersantai daripada memancing. Pada pukul 8 pagi keesokannya, houseboat mula bergerak pulang ke Pengkalan Gawi.














