KUALA LUMPUR – Pasukan Universi Malaya-Damansara United (UMD United) meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas saingan Liga A1 Semi-pro musim 2025/2026 yang akan membuka tirai rasmi pada, Sabtu ini.
Pengendali pasukan, Ridzuan Abu Shah percaya dengan kualiti pemain yang ada, tidak mustahil barisan pemain dapat berada di kedudukan yang lebih baik meskipun berstatus pendatang baharu.
“Pada kami berada di kedudukan Top 4 musim depan. Kalau ikutkan, ada tiga pasukan feeder dalam saingan Liga A1 seperti Selangor 2, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Imigresen II.
“Kalau kita dapat saingi mereka mungkin kita boleh berada dalam kedudukan dua teratas sekali gus meraih tiket automatik ke Liga Super musim depan,” katanya ketika ditemu pada Majlis Pelancaran Jersi UMD United sebentar tadi.
Sebagai rekod, skuad UMD United terbentuk hasil gabungan antara Universiti Malaya FC (UMFC) dan Damansara FC dan bakal bersaing dalam kempen Liga A1 dan Piala FA musim ini.
Menurut Ridzuan, skuad UMD FC terdiri daripada 13 orang pelajar universiti, termasuk enam pemain dari Malaysian University dan tujuh dari Universiti Malaya selain baki selebihnya adalah pemain berstatus pro dan semi-pro.
UMD United dijadualkan bertemu dengan Perak FA pada aksi pertama di Stadium MP Manjung, Ahad ini. – KOSMO! ONLINE