fbpx
Gambar hiasan - Kredit Janaan AI

Harus bela anjing dengan tujuan, tak bermakna boleh sentuh suka hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbuatan mempamerkan dengan bangga menyentuh anjing adalah satu perkara yang tidak boleh diterima kerana menimbulkan fitnah kepada diri, negara dan masyarakat.

Itu ketegasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan susulan persoalan berhubung tindakan segelintir individu beragama Islam yang dikatakan sengaja memegang anjing serta memuat naik di media sosial.

Berdasarkan penjelasan pada Irsyad Hukum dikongsikan menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia berpegang kepada mazhab al-Syafie yang berpandangan bahawa anjing termasuk daripada haiwan najis mughallazah.

“Masyarakat Islam di Malaysia juga agak sensitif terhadap anjing dari sudut hukum kenajisan tersebut.

“Oleh demikian, setiap individu perlu menghormati sensitiviti agama dan tidak menimbulkan perbuatan provokatif yang menganggu keharmonian,” katanya hari ini.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan, hukum memelihara anjing dengan tujuan dan sebab dibenarkan syarak seperti untuk berburu, menjaga rumah dan kebun tanaman adalah diharuskan.

Menurutnya, isu hukum berkaitan anjing dan status kenajisannya sentiasa menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia.

“Terdapat beberapa golongan memandang remeh dan enteng perkara ini dengan menyangka apabila diharuskan untuk membela anjing, maka mereka juga boleh untuk mempamerkan perbuatan menyentuh anjing dengan sesuka hati di media sosial.

“Bagi menjawab persoalan ini, secara asasnya sememangnya anjing ialah haiwan termasuk najis berat (mughallazah). Namun bukanlah istilah najis mughallazah itu bermakna anjing itu hina dan boleh dihinakan.

“Anjing juga termasuk haiwan yang perlu berlaku ihsan dan tidak boleh dizalimi seperti yang sabit dalam hadis Nabi SAW,” katanya.

Selain itu, ihsan kepada binatang tidak sepatutnya membawa kepada membenarkan perkara yang dihukum haram oleh para ulama seperti menyentuh atau memegang haiwan tergolong sebagai najis mughallazah.

“Sepertimana yang dimaklumi bahawa hukum kenajisan anjing adalah satu perkara khilaf dalam kalangan ulama. Terdapat mazhab dan beberapa pandangan ulama yang lain mengatakan bahawa anjing bukan daripada najis mughallazah.

“Walau bagaimanapun, di sisi mazhab al-Syafie secara jelas menyatakan bahawa anjing termasuk daripada najis berat yang wajib untuk dibasuh dengan tujuh kali basuhan, satu daripadanya dengan air bercampur tanah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI