KUALA LUMPUR – Dua lagi saksi akan dipanggil bagi melengkapkan kertas siasatan kes melibatkan selebriti Shila Amzah dan Datuk Amy Search.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kuala Lumpur sebelum dirujuk kepada TPR Putrajaya.
“Kita terima semula kertas siasatan (agar) ia selari dengan laporan yang dibuat oleh Datuk Amy.
“Seterusnya, kita akan ambil lagi keterangan dua saksi untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sebelum ini Shila memuat naik hantaran di akaun Instagramnya meluahkan rasa kecewa dan trauma dengan kejadian yang didakwa berlaku secara terbuka di hadapan kru ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR. DIY di Stadium Merdeka.
Shila atau nama penuhnya, Nurshahila Amir Amzah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 10 Julai lalu.
Siasatan polis mendedahkan rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga menjadi punca penyanyi legenda itu bertindak sedemikian. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE