PETALING JAYA – Pekerja warga asing yang dahulunya menjadi kuli kini menggalas jawatan penting dalam pelbagai sektor pekerjaan hingga dipanggil bos oleh orang tempatan ekoran mempunyai pengalaman, kerja memuaskan dan tahap kerajinan yang disukai majikan.
Mereka yang dahulunya masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh dalam dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) kini dilihat mengambil alih pelbagai jawatan penting dalam sektor perkilangan, pembinaan, pertanian, perladangan, perkhidmatan mahupun penyediaan makanan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ada antara pekerja asing ketika ini bukan hanya bergelar penyelia, malah ada yang bekerja sebagai juruteknik komputer, juruelektrik, mekanik, jurukimpal dan jurujual selepas mendapat kepercayaan majikan.
Antara faktor mereka dipercayai oleh majikan untuk memegang jawatan terbabit kerana pengalaman selain tahap kerajinan.
Sebahagian pekerja asing juga didakwa mempunyai kelulusan dalam bidang yang dimahukan oleh majikan, namun bersedia bekerja dengan gaji yang lebih rendah berbanding pasaran Malaysia.
Seorang pekerja asing dari Bangladesh, Abdul Rahman, 32, berkata, dia sudah lebih 12 tahun bekerja di sebuah kilang besi di Sungai Buloh, Selangor.
“Dulu gaji kecil RM1,000 sahaja. Saya rajin bos sangat suka. Sekarang saya supervisor gaji sudah lebih RM2,000. Alhamdulillah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Abdul, dia ketika ini menyelia kira-kira 50 pekerja terdiri daripada pekerja asing dan tempatan serta terlibat dalam memberi latihan kepada pekerja baharu.
Seorang lagi warga Bangladesh, Zamir Hasan, 36, berkata, dia kini merupakan juruteknik mesin di sebuah premis jentera berat dengan gaji sebanyak RM2,200 sebulan.
“Kadangkala saya kena baiki mesin rosak di tapak-tapak projek. Ada kerja lebih masa boleh dapat RM2,500 sebulan. Bos tak beri saya berhenti. Dulu mahu berhenti dia tambah gaji.
“Saya suka Malaysia. Sini saya dapat kerja banyak baik. Kampung tiada kerja. Saya ada diploma engineering (kejuruteraan),” katanya.
Pekerja asing dari Myanmar yang hanya dikenali sebagai Aunng berkata, dia masuk ke Malaysia pada tahun 2019 untuk bekerja di sebuah ladang di Banting, Selangor.
Katanya, dia kini bekerja sebagai cef di sebuah restoran bukan halal di Seri Kembangan dengan upah RM80 sehari.
“Saya belajar masak di Malaysia. Mula-mula jadi pembantu dapur. Tauke suruh saya belajar masak. Sekarang saya tukang masak,” katanya.
Warga Indonesia, Suwarji, 28, pula berkata, dia merupakan penyelia kepada seramai 42 pekerja kontrak binaan dan pembersihan sebuah syarikat di ibu negara.
“Sudah 10 tahun saya kerja pejabat yang sama. Kita bikin parit, bangunan, pembersihan. Dulu ada penyelia orang Malaysia. Sekejap datang (kerja), sekejap tak datang.
“Pak haji (majikan) marah. Dia (penyelia warga Malaysia) kena buang kerja. Saya disuruh jadi penyelia. Gaji naik jadi RM2,000,” katanya.
Hakikatnya, keutamaan penggajian di negara ini adalah untuk rakyat tempatan, manakala penggajian pekerja asing hanya untuk menampung kekosongan jawatan.
Majikan dikehendaki membuat pengiklanan kekosongan jawatan bagi membolehkan pencari kerja rakyat tempatan diutamakan bagi mengisi kekosongan tersebut.















