fbpx
Dua nelayan pesisir pantai mengisi masa membaiki jaring yang rosak selepas hampa lokasi menangkap ikan dipenuhi kapal besar yang berlabuh di tengah laut.

Nelayan makin tertekan, bergadai bagi duit belanja pada anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Projek tambakan pasir dan sebahagian perairan yang digazetkan sebagai Taman Laut Negara didakwa menjadi punca lebih 500 nelayan di ne­geri ini hilang punca rezeki hingga ada yang beralih ke kawasan lain hingga mencetuskan ketegangan antara mereka.

Rahim, 55, berkata, simpanan nelayan semakin menguncup dan tidak lagi dapat menampung perbelanjaan asas keluarga termasuk membeli beras.

Katanya, sebelum ini nelayan pesisir pantai terpaksa ke te­ngah laut untuk menangkap ikan ekoran projek tambakan pasir. Isu itu melibatkan hampir semua kawasan nelayan di negeri ini.

“Bila ke tengah laut, kami bergelut dengan kapal besar yang berlabuh tanpa kawalan. Kawasan pencarian ikan sema­kin mengecil sejak sebahagian perairan Selat Melaka digazetkan sebagai Taman Laut Negara dua tahun lalu.

“Mana lagi kami hendak pergi? Darat sudah ditambak, laut pula kapal besar berlabuh dan sekarang kami terpaksa curi-curi tangkap ikan di perairan berhampiran pulau yang kononnya untuk konservasi serta meran­cakkan sektor pelancongan,” katanya kepada Kosmo!.

Taman Laut yang diwartakan di bawah Akta Perikanan 1985 itu meliputi keluasan kawasan 26.97 kilometer persegi melibatkan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol dengan jarak 1.852 kilometer dari pantai.

Menurut Rahim, tekanan itu turut mencetuskan ketegangan antara para nelayan dari pangkalan di pelbagai tempat.

Tambahnya, bila kawasan biasa sudah tidak cari makan, ada nelayan yang pergi ke tempat orang hingga mencetuskan ke­tegangan apabila ramai berkumpul di tempat sama.

“Konservasi patutnya melibatkan satu pulau sahaja. Kami bukan mahu lawan pemimpin tetapi hanya mempertahankan hak sebagai nelayan sahaja,” katanya.

Omar, 49, pula berkata, dia kecewa apabila tiada sempadan jelas diletakkan di lokasi yang digazetkan menyebabkan nelayan dituduh menceroboh.

“Setakat ini sebanyak 15 bot rakan-rakan kami telah disita pihak berkuasa, sekali gus mereka ini hilang punca pendapatan.

“Memang mudah untuk pihak berkuasa menuduh kami menceroboh kerana kami tidak tahu lokasi yang tepat persempadanan perairan Taman Laut Negara, tidak ada tanda,” luah­nya.

Menurut Rosli, 53, dia yang mempunyai tiga orang anak terpaksa bergadai harta benda demi memastikan kelangsungan hidup keluarganya.

“Habis barang kemas isteri dan barangan lain saya gadaikan sebab nak bagi duit belanja kepada anak yang sedang belajar di universiti. Kalau situasi ini berterusan, memang para nelayan tidak dapat bertahan lagi,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ketiga-tiga pulau terbabit semalam yang sepatutnya menjadi hari ­tumpuan pelancong turut mendapati ia sunyi tanpa pengunjung.

Turut dilihat adalah bongkah-bongkah kayu dan besi tersadai di pesisiran pantai didakwa ­binaan jeti yang sebelum ini menelan kos pembinaan hampir RM500,000 roboh hanya selepas dua tahun dibina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN