IPOH – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengutip 20 tan sampah selepas penganjuran Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar ibu negara semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga pukul 3.30 pagi tadi bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih.
“Saya menerima laporan terkini daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp Malaysia) dan Alam Flora di mana sebanyak 20 tan atau 20,000 kilogram sampah dibuang di merata tempat selepas mereka meninggalkan lokasi.
“Oleh kerana itu, saya terpaksa mengerahkan seluruh pasukan Alam Flora dan SWCorp untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dengan segera.
“Pekerja-pekerja pembersihan terpaksa bekerja sehingga pukul 3:30 pagi kerana kawasan yang terlibat juga merupakan lokasi tumpuan pelancong,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Madani (TRM) Canning Garden, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, pihaknya kesal dengan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab peserta perhimpunan itu yang membuang sampah merata-rata sehingga mencemarkan kebersihan ibu negara. – KOSMO! ONLINE