SHAH ALAM – Seorang pemuda berusia 22 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan terjatuh setinggi 12 meter dari jejambat susur keluar Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) kira-kira pukul 4.45 petang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai ‘IT Support’ di sebuah syarikat swasta itu menunggang Yamaha YZF-R15.
“Lelaki itu dipercayai datang dari rumahnya di Kampung Melayu Subang menuju ke bengkel motosikal di ibu negara. Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan jejambat,” katanya malam ini.
Tambah Mohd. Iqbal, penunggang itu parah di kepala dan kaki sebelum disahkan maut di lokasi kejadian dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851 atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE