fbpx
Mohd. Rosli

APMM komited banteras penyeludupan dadah di perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) komited membanteras aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan melalui perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, APMM kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi dalam memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan maritim secara berterusan.

“APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan membawa masuk dadah ke negara ini melalui jalan laut.

“Setiap inci sempadan perairan negara adalah tanggungjawab Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli berkata, beliau turut mengakui, perairan negara terus menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan laluan laut sebagai ‘jalan selamat’ untuk menyeludup dadah ke negara ini.

“Ini seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri bahawa 80 peratus bekalan dadah masuk ke negara ini melalui laut.

“Untuk rekod dari tahun 2020 hingga Jun 2025, Maritim Malaysia telah melaksanakan pelbagai operasi bersepadu di seluruh negara dan berjaya mencatatkan sebanyak 117 kes tangkapan dadah dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM200 juta,” katanya.

Justeru itu katanya, APMM akan terus memperhebat operasi dan risikan bersama agensi penguat kuasa lain dalam menangani isu tersebut.

“Sementara itu, bagi mendepani cabaran penguatkuasaan di perairan negara, APMM telah diperkasakan keupayaannya melalui pertambahan aset laut dan udara.

“Antara aset strategik yang telah diperoleh termasuk Kapal Maritim (KM) TUN FATIMAH yang kini sedang beroperasi di perairan Laut China Selatan selain beberapa bot peronda generasi baharu yang telah ditempatkan di kawasan hotspot,” katanya.

Katanya, APMM juga bakal menerima sebuah kapal EX-USCG Cutter Steadfast, dijadualkan tiba pada November 2025, di samping helikopter AW189 yang dijangka siap pada 2026.

“Dengan perolehan aset baharu ini, APMM bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal, tetapi memperkukuh keupayaan pemantauan dan pengoperasian di laut, sekaligus membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI memperlengkapkan APMM sebagai benteng keselamatan perairan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN