PETALING JAYA – Berhentilah sedaya upaya untuk kelihatan kaya-raya, tetapi hakikatnya papa kedana dan tidak memiliki apa-apa.
Itu pesanan Pakar Kewangan dan Hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad kepada masyarakat bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan semata-mata ingin kelihatan mewah.
Beliau berkata, masyarakat membesar dengan sistem yang dijajah sejak dahulu iaitu kemewahan dan kekayaan adalah perlu dizahirkan.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan kewujudan media sosial.
“Masyarakat kita pun selalu juga salah dalam menilai. Ada yang bawa BMW tetapi dalam akaun cuma ada RM50,000 sahaja.
“Berbanding yang bawa Axia tetapi dalam akaun ada RM1 juta. Bagaimanapun, orang tetap akan suka dan sanjung yang pandu BMW sebab masyarakat lebih menilai apa yang terzahir pada diri seseorang,” katanya ketika dihubungi KOSMO! Ahad.
Jelas beliau, seseorang itu tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki jika terlalu mementingkan pandangan orang lain.
“Perkara paling mudah, kembalilah kepada agama. Kalau hidup ni terlalu mementingkan pandangan orang, kita selamanya tidak akan pernah berpuas hati.
“Sebab itu orang yang betul-betul kaya, dia bukan bermula dengan apa pandangan orang, tetapi menjana pandangan diri sendiri. Mereka tidak peduli tentang pandangan orang, yang penting mereka percaya dan yakin dengan apa yang dimiliki,” katanya. -KOSMO! ONLINE














