NEW DELHI – Tiga orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun selepas dipijak seekor gajah betina liar di negeri Chhattisgarh, India, lapor portal berita Hindustan Times semalam.
Kejadian berlaku di dua lokasi berbeza di daerah Raigarh, Selasa lalu.
Pegawai jabatan hutan, Jitendra Upadhyay berkata, gajah betina itu menceroboh sebuah perkampungan sebelum memusnahkan beberapa buah rumah dan membunuh seorang kanak-kanak berumur tiga tahun.
Gajah itu kemudian bergerak bersama anaknya ke perkampungan lain di mana dua lagi mangsa dipijak hingga mati.
“Pegawai perhutanan bergegas ke lokasi kejadian dan memindahkan mayat. Keluarga si mati diberi bantuan sebanyak 25,000 rupee (RM1,221).
“Pasukan kami sedang mengesan pergerakan gajah dan memberi amaran kepada penduduk bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang,” tambah Upadhyay. – AGENSI