KETIADAAN kapten pasukan, Afifuddin Razali akibat kecederaan memberi kesan besar kepada prestasi skuad kuadran negara apabila tewas mengejut kepada Jepun dalam aksi separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 kelmarin.
Menurut ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun, ketiadaan apit kanan utama itu membuka ruang buat Jepun menguasai permainan menerusi taktikal pertahanan triple blocking yang menyekat kelancaran serangan Malaysia.
“Jepun bermain jauh lebih baik, khususnya dari segi pertahanan. Mereka susun pertahanan rapi dan menyekat libasan apit kanan kita. Itu ganggu rentak dan pemain mula buat kesilapan seperti sangkut di jaring dan pukulan keluar,” ujarnya yang dihubungi Kosmo!.
Malaysia sebelum ini menewaskan Jepun di final Piala Asia 2025, bergelut tanpa Afifuddin yang terpaksa diketepikan selepas membantu negara muncul juara Kumpulan A awal minggu ini.
“Kalau ada Afifuddin, saya fikir peluang 50-50. Kita tahu kombinasi dia dengan Noraizat sangat penting untuk hadapi benteng lawan. Tanpa dia, tekanan terlalu besar pada pemain lain untuk serap tekanan Jepun,” kata Jais.
Malaysia menurunkan Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd. Razak dan Azlan Alias, namun gagal menandingi permainan kemas Jepun yang menang 15-11, 15-13 untuk mara ke final bertemu Vietnam di Central Hatyai, Songkhla.
Ahmad Jais turut mengakui pendekatan taktikal Malaysia perlu disesuaikan semula menjelang temasya besar akan datang seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, termasuk memahami trend terkini permainan di peringkat Asia.
“Kita kena akui sekarang banyak pasukan beralih kepada sistem triple blocking. Vietnam guna taktikal sama lawan Thailand. Kalau kita masih bergantung pada single block, memang mudah ditembusi,” ujarnya.
Malaysia dengan gelaran juara Asia dan reputasi kukuh selaku juara kumpulan tanpa kalah, terpaksa akur menamatkan kempen di tempat ketiga bersama Thailand yang turut menerima nasib malang apabila tewas kepada Vietnam di separuh akhir. – KOSMO! ONLINE