KULIM – Misteri kehilangan Mohd. Solehin Abd Latif, 28, selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Batu Puteh-Labu Besar, akhirnya terungkai apabila mangsa ditemui selamat pagi tadi di kawasan Batu Puteh.
Kakak mangsa, Nurul Shahida, 37, berkata, kira-kira pukul 8.50 pagi tadi polis menghubungi bapanya, Abd Latif Muhamad, 71, untuk memaklumkan penemuan adiknya.
Katanya, mereka sekeluarga amat bersyukur apabila adiknya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Kampung Batu Puteh, iaitu kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.
“Rasa amat lega segala bebanan fikir pasal kehilanganya semua hilang, selepas adik ditemui dalam keadaan selamat walaupun keadaanya tidak terurus, apa yang penting dia selamat,” katanya ketika di hubungi hari ini.

Menurut Nurul Shahida, adiknya dalam keadaan bingung dan tidak tahu kejadian sebenarnya berlaku ke atas dirinya serta dihantar ke Hospital Kulim untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, seorang lelaki memaklumkan kepada pasukan rondaan pukul 8 pagi tadi apabila dia melihat seorang lelaki hanya berpakaian seluar dalam berada di tepi jalan di kawasan Batu Puteh menghala ke Labu Besar.
Katanya, pasukan penyelamat segera ke lokasi dan menemui lelaki itu pukul 8.40 pagi dalam keadaan lemah, namun sedar.
“Mangsa ditemui dalam keadaan stabil, cuma mengalami beberapa kesan calar pada badan. Dia dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Kosmo! melaporkan, Mohd. Solehin dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar dalam kemalangan tersebut. Usaha mencari dan menyelamat (Op SAR) telah digerakkan serta-merta oleh pihak berkuasa sejak semalam. – KOSMO! ONLINE