LONDON – Tottenham Hotspur dikatakan memantau rapat situasi bintang muda Manchester United, Kobbie Mainoo yang masih belum mencapai persetujuan berhubung kontrak baharu bersama kelab itu.
Perbincangan mengenai perjanjian baharu buat pemain tengah berusia 20 tahun itu dilaporkan telah berlangsung lebih setahun, namun rundingan masih menemui jalan buntu.
Mainoo kini terikat dengan kontrak bersama United sehingga 2027 dan kelab itu mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian selama setahun lagi.
Musim lalu, pemain muda England itu berdepan beberapa masalah kecederaan yang menyekat aksinya dan hanya mencatat 24 penampilan sebagai kesebelasan utama sepanjang kempen 2024/2025.
Dengan Piala Dunia 2026 semakin hampir, Mainoo dijangka mahu konsisten mendapatkan minit permainan, sesuatu yang dilihat sukar diperoleh jika terus kekal di Old Trafford.
Ketika ini, pengendali United, Ruben Amorim sudah memiliki pilihan utama di bahagian tengah termasuk kapten, Bruno Fernandes, Casemiro dan Manuel Ugarte.
Dalam masa sama, The Red Devils juga dilaporkan sedang meninjau muka baharu bagi memperkukuh jentera tengah mereka, sekali gus membuka ruang buat kelab lain seperti Spurs dan Chelsea yang telah lama berminat untuk mendapatkan Mainoo.
Persediaan bahagian tengah skuad bimbingan Thomas Frank itu mungkin menjadi daya tarikan buat Mainoo berhijrah ke Spurs yang sedang membina semula skuad yang lebih kompetitif.
Minat Spurs terhadap Mainoo dilihat sebagai sebahagian daripada strategi kelab untuk memikat pemain England berprofil tinggi yang memiliki potensi besar pada masa depan. – AGENSI